27.1 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan mengalu-alukan sumbangan badan bebas termasuk NGO

Jonathan, Aminah bersama David dan Jody memotong reben sebagai simbolik pelancaran bekalan air bersih baharu.

RANAU: Kerajaan mengalu-alukan sumbangan badan bebas termasuk NGO untuk menyumbang atau berbakti kepada rakyat khususnya di kampung yang jauh.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, sebarang bantuan selain daripada sumber kerajaan termasuk daripada sukarelawan korporat serta swasta dialu-alukan untuk membawa bantuan kepada rakyat.

“Di Sabah setiap tahun kita dapat lihat dana tidak mencukupi untuk menampung semua keperluan setiap rakyat di negeri ini.

“Kita ambil contoh Projek Perumahan SMJ. Untuk tahun lepas, di Ranau 23 projek perlu disiapkan, tetapi senarai panjang permohonan SMJ melebihi 600.

“Untuk membina semua rumah SMJ, ia akan mengambil masa berpuluh tahun. Ramai yang perlu menunggu selama 20 tahun untuk menerima rumah mereka,” katanya.

Ke arah itu, Jonathan berkata, sebarang bantuan daripada badan bukan kerajaan amat dihargai bagi membantu dalam apa jua cara yang mungkin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyiapan Projek Air dan Sanitasi Kg Narawang, Ranau yang diadakan di Dewan Mini kampung itu pada Isnin.

Projek itu dianjurkan bersama oleh Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Rotary Club of Likas Bay, Rotary Club of Bandar Seri Begawan dan Rotary Club of Changi.

Turut terlibat, Rakan Kongsi Bersama Pertubuhan Komuniti Elite dan ditaja oleh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints Malaysia.

“Hari ini kami gembira menerima bantuan daripada Kelab Rotary dan Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints Malaysia yang membawa bekalan air bersih kepada kira-kira 600 penduduk kampung di sini.

“Kami diberitahu bahawa penaja telah pergi jauh ke dalam kampung dan sumber air di mana mereka menghadapi banyak cabaran untuk memastikan penduduk kampung mendapat bekalan air bersih.

“Terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam usaha ini dan juga kepada penduduk kampung yang mengambil inisiatif membantu usaha ini untuk mengubah realiti kehidupan mereka di sini. Penduduk kampung juga memainkan peranan mereka,” katanya.

Turut hadir ialah Elder David dan Sister Jody Reese dari Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints Malaysia, Presiden Rotary Club of Kota Kinabalu Pearl, Datuk Aminah Ambrose, Pengerusi Projek Rotary Club (Air dan Sanitasi), Datuk Suzannah Liaw, pegawai kelab lain, pemimpin tempatan dan penduduk kampung.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN