30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 23, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan mempertimbangkan pembinaan rumah mangsa kebakaran di Kg. Tikandis:Abdul Ghani

Ghani bersama Bobbey menikmati juadah raya ‘inaau’ atau ambuyat pada majlis rumah terbuka itu.

NABAWAN: Kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan rumah panjang bagi 18 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran rumah di Kampung Tikandis baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, mereka (mangsa kebakaran) memohon supaya sebuah rumah panjang dibina untuk mengganti rumah-rumah mereka yang musnah dalam kebakaran itu.

“Berdasarkan permohonan mereka, kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan rumah panjang disamping kita mencari kaedah-kaedah lain bagaimana membantu mereka untuk mendapat tempat kediaman yang baharu.

Menurut Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), pihaknya juga telah memaklumkan kepada syarikat Sri Jutaya yang melaksanakan pembinaan naiktaraf Sepulut – Pagalungan supaya dapat membantu mangsa kebakaran melalui program Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat untuk sama-sama membantu pembinaan rumah panjang mangsa kebakaran.

Ghani memberitahu, selepas kejadian yang memusnahkan 14 buah rumah termasuk dua buah rumah PPRT itu, pihak Pejabat Daerah bersama dengan Pejabat ADUN, UPPM dan agensi-agensi yang berkaitan telah membuat lawatan dan menyampaikan bantuan awal dalam bentuk bahan-bahan makanan kepada mangsa.

“Selepas itu lawatan susulan juga kita buat bagi mengenal pasti keperluan mereka dan hasil daripada lawatan itu kita telah menerima permohonan sepuluh buah tangki dan kita akan hantar tangki ini dengan segera” katanya kepada media semasa menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran pejabat ADUN dengan kerjasama Keluarga Bahagia di dewan serbaguna Kampung Bahagia di sini Khamis.

Selain itu katanya, pihaknya pejabat ADUN bersama dengan Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mempastikan kebajikan keluarga mangsa kebakaran sentiasa diambil perhatian dari masa ke semasa.

Ghani turut merakamkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam yang terlibat memberi khidmat bantuan dalam pelbagai bentuk kepada mangsa kebakaran.

Mengenai dengan rumah terbuka itu Ghani menyifatkan ia mempunyai keunikan yang tersendiri kerana ia bukan sahaja dianjurkan oleh penduduk yang beragama Islam malah penduduk Kampung Bahagia yang beragama Kristian pun turut membantu menyediakan juadah.

“Inilah keunikan kita di daerah Nabawan ini, apabila perayaan itu disambut diperingkat kampung ia turut melibatkan semua penduduk tanpa mengira anutan agama” jelasnya.

Ini katanya, menunjukkan betapa suburnya perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat khususnya suku kaum Murut yang kaya dengan budaya hormat menghormati diantara satu dengan yang lain.

Terdahulu dalam ucapannya Pengerusi pelaksana Antan Anginsor berkata, majlis rumah terbuka itu memberi peluang kepada penduduk dan masyarakat di daerah ini bertemu sama-sama merayakan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, selain menikmati juadah raya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim diantara masyarakat di daerah yang sudah sedia terjalin.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Senator Bobbey A. Suan, Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton, Pemimpin Pembangun Masyarakat (PPM) Nabawan Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan Ulin Datuk Pamiang, Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku STARSABAH Jordan Datuk Ellron dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN