Oleh: Sylvia Sumping
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memahami keperluan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam di Bandaraya Kota Kinabalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan akan menaik taraf kemudahan sedia ada supaya setaraf dengan bandar raya lain di rantau ini.

“Kerajaan memahami dan berusaha untuk menyelesaikan isu pertambahan jumlah kenderaan menyebabkan jalan raya yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan termasuk kemudahan tempat letak kenderaan yang tidak mencukupi.
“Oleh itu, saya telah arahkan pihak Warisan Harta untuk mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi mengenalpasti cara terbaik untuk memperbaiki sistem pengangkutan sedia ada.
“Saya berharap agar sistem pengangkutan awam bandaraya Kota Kinabalu setaraf dengan bandaraya lain di rantau ini,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Bandaraya Kota Kinabalu di sini, malam tadi.

Menurut Shafie, peranan dan tanggujawab DBKK selaku pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bandaraya itu semakin bertambah ekoran kini terdapat banyak pusat komersial dan taman perumahan.

Tambahnya, penghargaan perlu diberikan kepada seluruh warga kerja DBKK, bermula daripada mayor yang pertama hingga mayor pada ketika ini yang telah bersama-sama meyumbang kepada pembangunan bandar raya tersebut.
Sempena Sambutan Ke-20 DBKK, pelbagai aktiviti disusun sepanjang tiga hari program berlansung bermula sejak 31 Januari lalu antaranya Busker Corner, Street Soccer, Art Craft, gerai jualan, food truck dan banyak lagi./Penerangan–