Noridah bersama 100 pelajar yang menerima peralatan sekolah sempena Karnival Wilayah Kita peringkat Labuan.
LABUAN: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Kerajaan MADANI terus berusaha untuk menangani isu berkepentingan rakyat terutamanya masalah yang melibatkan bekalan air dan bekalan elektrik.
Bagi mengatasi masalah itu katanya, kerajaan telah memperuntukan RM 454.88 juta untuk menaik taraf sistem bekalan air sepanjang 106.7 kilometer.
“Sehingga hari ini projek berkenaan telah pun mencapai 35 peratus atau 37 kilometer telah pun siap sepenuhnya” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Wilayah Kita peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di sini, kelmarin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Selain itu, projek ladang solar yang terletak di Kampung Tanjung Kubong dan Bukit Kalam dengan kapasiti 15 megawatt sehari telahpun siap sepenuhnya sekaligus mampu menampung keperluan bekalan elektrik di pulau ini yang secara purata memerlukan 70 megawatt sehari.
Beliau juga menjelaskan Kerajaan komited untuk merealisasikan pembinaan jambatan Labuan- Menumbok di Sabah yang disifatkan sebagai ‘game Changer’ kepada Labuan yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada Labuan dan juga Sabah.
“Dalam belanjawan 2025 kerajaan telahpun memperuntukan RM 3 juta kepada Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek tersebut secara menyeluruh yang tidak hanya kepada teknikal tetapi juga kesanya kepada keperluannya rakyat Labuan”katanya.
Sementara itu, dalam merancakkan semula industri pelancongan Labuan, Jabatan Wilayah Persekutuan juga telah memperuntukan RM 1 juta bagi meningkatkan infrastruktur pelancongan dan memastikan perkhidmatan pelancongan bergerak maju seiring dengan pembangunan Labuan.
Pada majlis itu, Noridah yang mewakili Zaliha turut menyampaikan peralatan sekolah kepada 100 pelajar golongan B40 melalui program ‘Back To Scool’ tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pelbagai acara menarik telah diadakan sepanjang karnival dua hari itu di jalankan melibatkan penyertaan komuniti Labuan.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib.