25 C
Kota Kinabalu
Selasa, November 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Komited Tingkatkan Pembangunan Pendidikan

Hajiji (kanan) menandatangani plak perasmian bangunan.- Gambar JaPen Sabab

TUARAN : Kerajaan negeri komited dalam meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendidikan menjadi keutamaan kerana ia penting dalam melahirkan rakyat berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan serta kemajuan negeri.

“Kerajaan negeri memberi penekanan utama ke atas pembangunan pendidikan bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pendidikan yang terbaik dan sempurna.

“Jika rakyat mempunyai pendidikan dan pelbagai kemahiran, ini akan membantu kita membangunkan negeri ini.

“Ini juga selari dengan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Modal lnsan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Keterlibatan dan komitmen semua pihak diperlukan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutama dalam komitmen kerajaan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kerajaan Negeri Sabah akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan akses pendidikan kondusif dapat dilaksanakan melalui kerjasama padu pelbagai pihak yang ingin menyumbang bakti ke arah mempertingkat kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Bangunan Serbaguna Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin Tuaran di sini, pada Sabtu.

Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak mengabaikan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, termasuk dalam aspek pendidikan.

“Tidak kira sekolah Cina atau kebangsaan, kerajaan negeri akan terus membantu untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna.

“Malah, pelbagai inisiatif kerajaan negeri sediakan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna seperti biasiswa dan pinjaman selain bantuan one-off kepada pelajar yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah untuk membantu pelajar yang tidak mendapat bantuan biasiswa,” tambahnya.

Bangunan serbaguna baharu empat tingkat dengan kos sebanyak RM4.2 juta yang  dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran seperti bilik muzik, reka bentuk dan teknologi (RTB), multimedia, sains dan perpustakaan itu telah siap pada bulan Ogos tahun lalu.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Pegawai Daerah,  Hadzlan Jablee dan Pengerusi Lembaga Pengarah SJKC Chen Sin, Datuk Paul Yong.

Sumber: PENERANGAN

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN