Jonathan (tengah) dan yang lain memberikan ‘thumbs up’ untuk program vaksinasi di Kg Karagasan di sini baru-baru ini
RANAU: Usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat menerima imunisasi terhadap virus Covid 19 menghadapi banyak cabaran, terutama bagi penduduk kampung yang tinggal di kawasan jauh di pedalaman.
Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin yang baru-baru ini mengunjungi program imunisasi Covid 19 dos kedua di Dewan Mini Kg Karagasan Ranau mengatakan, walaupun terdapat banyak cabaran yang dihadapi, diharapkan banyak lagi yang akan didaftarkan dan menerima imunisasi.
“Syukurlah, program hari ini berjalan dengan baik. Kaunter pendaftaran juga telah dibuka untuk mereka yang baru ingin mendaftar. Saya harap lebih banyak orang tampil dan program seperti ini akan terus diadakan pada masa akan datang selagi perjuangan kita melawan wabak ini berterusan,” katanya.
Jonathan berinteraksi dengan penduduk kampung yang sedang menunggu giliran untuk vaksinasi di Kg Karagasan
Jonathan yang juga Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia berkata, cabaran utama untuk sampai ke tempat ini, yang terletak kira-kira 74 kilometer dari pekan Ranau, adalah jarak jauh dengan kampung-kampung yang terlibat.
Selain itu, katanya maklumat kepada akar umbi mengenai vaksinasi juga harus dipergiat dan disebarkan sehingga setiap orang mendapat maklumat yang tepat mengenai imunisasi.
Di antara penduduk kampung di Kg Karagasan Ranau sabar menunggu giliran untuk menerima dos kedua vaksin Covid 19
“Justeru itu, pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi mesti menjadi ejen untuk memberi kesedaran kepada penduduk di kawasan masing-masing untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan betul mengenai kepentingan Program Imunisasi Nasional Covid-19 3.0 kepada keluarga, jiran dan komuniti.
“Maklumat yang tepat perlu diberikan kepada akar umbi agar mereka memahami pentingnya program imunisasi untuk memerangi jangkitan Covid-19 yang masih menyebar ke seluruh dunia, termasuk Malaysia,” katanya.
Katanya, kerajaan telah menyediakan beberapa platform untuk orang ramai mendaftar program imunisasi melalui Aplikasi Mysejahtera, Talian Hotline dan laman web www.vaksincovid.gov.my.
“Penerimaan suntikan Vaksin Covid-19 adalah sukarela tetapi sangat digalakkan,” tambahnya.