Gambar: Robert (dua dari kanan)menyaksikan kertas kerja cadangan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Keningau.
KOTA KINABALU:Kerajaan akan berusaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di daerah Keningau terutama di sekitar pekan.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, perkara ini telah dibincang pada mesyuarat projek jalan raya keutamaan untuk Daerah Keningau di Pejabat Kerja Raya Negeri di sini kelmarin.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, beliau akan usahakan yang terbaik dan meminta pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah membuat kertas cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan khususnya Kementerian Kerja Raya Negeri Sabah.
“Saya menaruh keyakinan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah khususnya jurutera-juruteranya yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang tersebut mampu menyediakan kertas cadangan berkaitan perkara tersebut” katanya selepas menghadiri mesyuarat itu.
Beliau berharap kesesakan lalu lintas di sekitar pekan Keningau akan dapat diatasi jika usaha itu menjadi kenyataan kelak.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Penolong Pengarah Cawangan Jalan Raya JKR Negeri Sabah, Ir Adrian Norbert Lee dan Perdana Jurutera Perunding (PJP) Lucas Lo.
Mesyuarat itu adalah untuk membincangkan berkenaan usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas Daerah Keningau.



