RINGANKAN BEBAN…Puan Haisah (dua kanan) menerima sumbangan dari PAPIM yang disampaikan oleh Puan Sapiah.
PUTATAN: Persatuan Kebajikan dan Rekreasi Anak Kg Pimping Kota Kinabalu (PAPIM) yang diketuai oleh Pengerusinya, Haji Ahmad Dipong melakukan ziarah kebajikan dan menyampaikan bantuan kepada salah seorang ahlinya yang baru menjalani pembedahan.
Ziarah kepada Puan Haisah Ahmad itu turut disertai oleh Bendahari Agung, Awang Kassim Hj Ismail, Ketua Penerangan, Hj Mohd Amin Hj Muin dan AJK, Haji Ismail Hj Baniamin dan isteri kepada oengerusi PAPIM Hajah Sapiah Lamat.
Ziarah ke atas ahli PAPIM Puan Haisah Ahmad yang juga isteri kepada AJK PAPIM, Ali Omar Salleh di kediaman mereka di Jalan Indah Ketiau Putatan merupakan sebahagian aktiviti dan menjadi amalan persatuan ini sejak ianya ditubuhkan.
Ziarah Kebajikan ini juga untuk menyampaikan sedikit bantuan kepada Puan Haisah yang baharu menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta KPJ Kota Kinabalu baru-baru ini.
Dalam ucapan ringkasnya pada ziarah itu Haji Ahmad dan rombongan terus mendoakan agar Puan Haisah kembali sihat seperti biasa.
Haji Ahmad berkata sudah menjadi kelaziman bagi PAPIM untuk melakukan ziarah terhadap ahli-ahlinya yang kurang sihat, di rawat di hospital dan juga yang ditimpa musibah.
Beliau berharap semua ahli-ahli PAPIM akan terus mengukuhkan silatulrahim sesama sendiri dan bantu membantu antara satu dengan lain sebagai anak Kg Pimping yang tinggal di ibu kota.
Sementara itu Puan Haisah dan suami Ali Omar merakamkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan PAPIM kerana melakukan ziarah itu.
Sambil turut mendoakan semua ahli-ahli PAPIM akan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat beliau berkata ziarah kebajikan ini juga dapat mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dikalangan semua ahli persatuan.



