PERTEMUAN… Dr Zaliha (kanan sekali), Rithuan (dua kiri) dan Noridah ketika mengadakan perbincangan bersama Anthony baru baru ini.
LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Wilayah) Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) komited untuk mengusahakan penambahan penerbangan terus ke Labuan.
Zaliha berkata, Menterinya Anthony Loke telah memberikan komitmen untuk berusaha menambah kekerapan penerbangan terus ke Labuan bagi mengatasi masalah kekurangan penerbangan yang menjadi kesresahan rakyat Labuan waktu ini.
“Kekerapan penerbangan itu bukan sahaja untuk memudahkan pengguna yang kerap ke Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak tetapi juga bagi memastikan rakyat Labuan mendapat limpahan manfaat yang terbaik” katanya.
Zaliha berkata demikian menerusi hantarannya di Facebook selepas mengadakan Pertemuan dengan Anthony Loke di Parlimen baru baru ini.
Menurut Zaliha ketika ini hanya terdapat kurang 10 penerbangan pergi dan balik ke Kuala Lumpur dalam tempoh seminggu dan ia sekaligus merumitkan warga Labuan.
Sebelum ini, isu jumlah penerbangan terus dari Kuala Lumpur telah disuarakan oleh warga Labuan semasa Program Temu Rapat Dr Zaliha bersama Warga Labuan siri 1 pada 14 Januari lalu.
Zaliha turut menjelaskan, Anthony Loke juga akan meneliti cadangan untuk menaik taraf pelabuhan Merdeka Labuan yang merupakan pelabuhan utama di pulau ini yang sudah menjangkau usia lebih sekurun” katanya.
Hadir sama dalam pertemuan dengan Anthony Loke itu, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.