SERAH… Simsudin (dua kanan) menyerahkan peralatan gotong royong kepada Pengerusi JKPP Layang-Layangan, Faizal Lakat (dua dari kiri) sambil diperhatikan Gilbert ( kanan sekali) dan Samiah.
LABUAN: Pejabat Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan Labuan menubuhkan dua buah Sahabat Komuniti Desa (SKoD) masing-masing di Kampung Sungai Miri dan Kampung Layang-Layangan.
Penubuhan SKoD yang betujuan menggalakkan perkembangan semangat sukarelawan di kalangan masyarakat desa telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek, di Balai Raya kampung Sungai Miri, pada Ahad.
Simsudin ketika berucap berkata, penubuhan SKoD adalah untuk memastikan anggota masyarakat yang pernah dilatih oleh KEMAS dapat meneruskan khidmat masyarakat bersama sama dengan Institusi Kepimpinan Komuniti yang dilantik.
“Antara mereka yang pernah dilantik oleh KEMAS ialah Jawatankuasa Gerakan Daya Wawasan, Jawatankuasa Aktiviti KEMAS dan Sukarelawan KOSPEN yang bergerak secara aktif di desa-desa yang telah menjalankan aktiviti secara tersusun” katanya.
Selain itu katanya, Program SKoD ini juga merupakan langkah awal bagi belia di kampung untuk mengasah bakat kepimpinan dengan menyertai aktiviti kesekuarelawan.
“Aktiviti ini juga penting untuk para belia membentuk jati diri dan persiapan untuk kerjaya pada masa depan” katanya.
Sementara itu, Simsudin berharap pelaksanaan program tersebut dapat menjdi agen penggerak kerajaan untuk mencorakkan komuniti desa bukan sahaja mengamalkan budaya hidup sihat, malah memperkukuhkan institusi kekeluargaan dan masyarakat disamping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran membangkitkan semangat baru masyarakat setempat.
Pada majlis itu, Simsudin turut menyerahkan peralatan gotong royong dan bantuan prihatin kepada 10 penerima.
Hadir sama pada majlis itu, Pegawai KEMAS Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Gilbert Julian, Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran KEMAS, Samiah Daud, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3, Benjamin Taha, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JPKK) Kampung Sungai Miri, Mahmud Asat dan Pengerusi JPKK Layang-Layangan, Faizal Lakat.



