Keadaan motorsikal yang terlibat kemalangan, ragut nyawa penunggang
Oleh: Aduka Jasnin Suman
PUTATAN: Satu kemalangan maut melibatkan sebuah motokar dan sebuah motosikal dilaporkan berlaku di Jalan Kota Kinabalu–Papar berhampiran Kampung Petagas, di sini, kira-kira jam 9.20 pagi, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah motokar sebelum terbakar akibat pelanggaran tersebut.
“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mematuhi peraturan dan memandu dengan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Amrin Mohamad Rif, di talian 017-663 8278.



