PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal, dan disahkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta terbabit yang dalam perjalanan menghala ke Toring melalui Jalan Bundusan dipercayai hilang kawalan ketika dipandu dalam keadaan hujan lebat sebelum terbabas dan melanggar motosikal yang berada berhampiran.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta peka terhadap keadaan cuaca, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni, di talian 019-809 5133.



