BASHIR (6 dari kanan) bersama Rithuan (7 dari kanan), Ahmad (9 dari kanan), Rasil (3 dari kiri) dan Mohamad Syahffie (5 dari kanan) ketika memulakan acara Berjalan Teguh Bersama di perkarangan Perbandanan Labuan.
LABUAN: Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Alias berkata, Tema Hari Kebangsaan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ membawa makna kebersamaan rakyat sebagai sebuah keluarga besar yang kalis cabaran, kukuh dan terus maju dalam mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang.
“Percayalah Semangat Keluarga Malaysia yang Teguh Bersama boleh membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu kerana kita ingin melihat ekonomi kembali pulih dan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Labuan di perkarangan bangunan Wisma Perbadanan Labuan, di sini, pada Sabtu.
Bashir yang juga Ahli Dewan Negara turut mengajak warga Labuan untuk sama sama berganding bahu dengan pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup disamping memulihkan prestasi ekonomi kerana usaha tersebut merupakan satu jihat.

SEMANGAT…. Bashir bersama pemimpin masyarakat menjayakan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Laman Muhibah selepas berjalan teguh bersama sejauh 2 km.
“ Berikanlah kepercayaan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan ini agar segala usaha yang sedang dan akan diambil mampu membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup” katanya.
Program Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang telah dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Sementara itu dianggarkan kira-kira 200 peserta yang melibatkan kakitangan kerajaan, swasta, pertubuhan suka rela dan pelajar menyertai acara Berjalan Teguh Bersama sejauh 2 kilomenter sambil mengagihkan Jalur Gemilang di beberapa premis perniagaan di sekitar pusat Bandar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Ahmad Jawila, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Labuan, Mohamad Syahffie Haji Japril dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Ab. Rasil Hajatil.