SERAHAN KEAHLIAN … Presiden RCKK Pearl, Datin Dr. Jeanette Tambakau (kiri) menerima borang keahlian RCKK Pearl Prismatic Ranau daripada Datuk Dr. Mistirine Radin, disaksikan oleh pemimpin RCKK Pearl, Datuk Aminah Ambrose dan Naib Presiden Datuk Eliza Goh serta ahli-ahli RCKK Pearl Prismatic Ranau.
RANAU: Daerah Ranau mencatat satu lagi perkembangan positif dalam usaha memperkukuh khidmat masyarakat apabila sebuah kelab satelit di bawah rangkaian Rotary antarabangsa, Rotary Satellite Club of Kota Kinabalu (RCKK) Pearl Prismatic Ranau, ditubuhkan secara rasmi hari ini.
Penubuhan kelab itu dimuktamadkan dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Ranau dengan penyertaan 10 ahli perintis.
Kelab berkenaan akan beroperasi di bawah naungan RCKK Pearl, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai sepenuhnya oleh wanita dan aktif melaksanakan pelbagai program khidmat sosial kepada masyarakat.
Presiden RCKK Pearl, Datin Dr. Jeanette Tambakau berkata penubuhan kelab satelit itu diyakini dapat memperluas jaringan bantuan sosial kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, Rotary merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan serta pembangunan masyarakat.
Dalam mesyuarat penubuhan tersebut, mantan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mistirine Radin dipilih sebagai pengerusi kelab satelit berkenaan.
Jawatan bendahari disandang oleh Jaimis Saiman manakala Hajah Halizah Jani dilantik sebagai setiausaha.
Mistirine berkata pada tahun ini kelab berkenaan akan memberi tumpuan untuk membantu pelaksanaan serta pemantauan aktiviti RCKK Pearl, khususnya Projek REAL yang menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris berkualiti untuk pusat sumber sekolah di kawasan luar bandar.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi kelab, Hajah Halidah Arifin berkata pemilihan nama “Prismatic” melambangkan keseimbangan, sinaran dan nilai yang berharga.
Menurutnya, konotasi positif istilah itu selaras dengan misi RCKK Pearl yang menekankan prinsip khidmat mengatasi kepentingan diri, membina pemuridan yang baik serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan ahli.
Beliau berkata kelab itu juga berhasrat mempromosikan keamanan, memperkukuh kerjasama serta meningkatkan khidmat komuniti melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.
Pada majlis sama, Jeanette turut menerima borang keahlian RCKK Pearl Prismatic Ranau daripada Mistirine yang disaksikan oleh pemimpin RCKK Pearl, Datuk Aminah Ambrose, Naib Presiden Datuk Eliza Goh serta ahli-ahli kelab berkenaan.
Misi organisasi itu adalah untuk mengamalkan prinsip khidmat mengatasi kepentingan diri, memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan persahabatan dalam kalangan ahli, di samping menggalakkan keamanan dan persefahaman melalui jaringan kerjasama yang kukuh, kolaborasi strategik serta pelaksanaan pelbagai program khidmat komuniti.



