31 C
Kota Kinabalu
Isnin, Januari 13, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

J/kuasa Bertindak Tanah Geran Komunal Longongon, mahu status geran komunal seluas 8,400 dikekalkan

Mohd Ridhwan (duduk tengah) bersama dengan AJK Bertindak Geran Komunal Logongon menunjukkan teks kenyataannya dalam sidang media itu.

KENINGAU: Jawatankuasa Bertindak Tanah Geran Komunal Longongon di mukim Pagalungan Nabawan mengambil keputusan meminta Ketua Menteri mengekalkan status geran komunal seluas 8,400 ekar melalui sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan.

Ketua Anak Negeri, Mohd Ridhwan Angayas yang mewakili jawatankuasa itu menyatakan pendirian bahawa isu dan status tanah geran komunal Longongon yang mereka perjuangkan harus dikekalkan mengikut apa yang telah dirancang berdasarkan keputusan mesyuarat Siri 1/2023 Ketua-Ketua Penyelaras yang diadakan pada 5 Februari 2023 di Balai Budaya Kampung Sikait Pagalungan.

“Lot geran komunal seluas 8,400 ekar ini telah tersedia sejak lapan tahun lalu tetapi tidak diusahakan. “Syarikat Longongan Plantation yang diberi kepercayaan untuk membangunkan kawasan ini di sepanjang sungai Longongon bermula dari Kampung Sabuluh, Agis, Tikandis, Singkaluan, Sosogoh , Sikait, Kuala Sabenait, Sumolombom, Sigatal lama dan Sabingkol telah gagal menyebabkan seramai 339 peserta membuat keputusan untuk mengisytiharkan keluar daripada pihak pemaju,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa itu di sini pada Rabu, Mohd Ridhwan berkata bahawa selepas kawasan ini dibubarkan keluasan sedia ada hanya 2,717 ekar daripada keluasan asal 8,400 ekar dan berdasarkan kiraan masih terdapat keluasan 5,688 ekar lagi bakinya.

Beliau berkata, justifikasi perkara ini adalah untuk memastikan baki tanah yang sedia ada dapat dikekalkan untuk generasi akan datang supaya mereka tidak merempat di bumi sendiri.

“Kami juga sebulat suara bersetuju untuk melantik sebuah agensi kerajaan negeri iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) untuk memajukan kawasan ini berdasarkan ‘track record’ agensi ini yang membangunkan tanah untuk kepentingan peserta dan penduduk kampung.

“Walau bagaimanapun, usaha dan niat murni kami telah dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik songsang.

“Justeru itu, saya sekali lagi bagi pihak Jawatankuasa Bertindak Tanah Geran Komunal Longongon berharap agar mana-mana pihak tidak mengganggu gugat hasrat dan usaha kami untuk memajukan kawasan ini ” katanya.

Mohd Ridhwan turut menggesa dan merayu kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri supaya dapat mengekalkan Geran Komunal Longongon seluas 8,400 ekar dan menyegerakan pengukuran lot individu terlibat.

Katanya, jawatankuasa itu turut merayu pihak kerajaan negeri agar LKTNS dapat mengusahakan kawasan ini demi mencapai matlamat mereka untuk maju bersama-sama selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Semoga segala yang kita rancang mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak yang berkenaan khususnya Ketua Menteri,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN