29 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KEJOHANAN EMPAT PENJURU PERSEDIAAN PASUKAN BOLA SEPAK BAWAH 18 TAHUN RANAU

Pasukan B18 bersama perasmi PPM N37 Karanaan, barisan jurulatih dan AJK Safa

RANAU : Kejohanan bola sepak empat penjuru membabitkan pasukan Clasico, Jabatan Air, Majlis Daerah Ranau dan pasukan Bola Sepak Bawah 18 Tahun (B18) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Ranau telah berlangsung pada Ahad lepas.

Kejohanan yang berlangsung petang di Padang Pekan Ranau itu juga merupakan latihan dan persediaan pasukan B18 daerah ini ke Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin bermula 3 April depan.

Ketua Jurulatih Bawah 18 Tahun Ranau, Ramlee Tahir berkata, kejohanan itu penting sebagai persiapan awal untuk pasukan daerah disamping melatih fizikal dan mental pemain.

En Ramlee Tahir, Ketua Jurulatih Pasukan B18 memberi latihan kepada pasukan B18

“Pasukan B18 Ranau yang telah dibentuk adalah hasil daripada proses pemilihan pemain yang berbakat di daerah ini bermula awal Mac lalu. menerusi pemilihan itu, kita berjaya menubuhkan pasukan pilihan yang ada sekarang.”

“Kejohanan empat penjuru ini sudah semestinya memberi ruang kepada para pemain untuk bersedia bagi menghadapi kejohanan sebenar yang akan bermula pada 3 April nanti.

“Kita mahu pemain yang sudah dipilih mendapat pengalaman yang sebenar di atas padang bagi mempersiapkan fizikal dan juga mental mereka bagi menghadapi pihak lawan.

“Pasukan ini juga dijangka akan bertemu pasukan pilihan Ranau sebagai perlawanan terakhir sebelum menghadapi  Kejohanan Piala Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA),” katanya kepada media

Menurut Ramlee, kejohanan Piala Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu nanti dipertandingkan mengikut zon dan Ranau berada di Zon Tengah bersama pasukan daerah Telupid dan Tongod.

Johan pertandingan bola sepak 4 penjuru, Pasukan Jabatan Air

Pada kejohanan Ahad lepas, pasukan Jabatan Air muncul johan, manakala naib johan dimenangi pasukan Majlis Daerah Ranau. Tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang pasukan Clasico dan pasukan bawah 18 tahun.

Kejohanan dirasmikan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.38 Paginatan, Hishamuddin Harun dan turut dihadiri beberapa Ahli Jawatankuasa SAFA Daerah Ranau, Abidin Sahat, Austin Orou dan wakil Pegawai Daerah Ranau, Balzet Dausin.

Pasukan bawah 18 tahun Ranau diterajui Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.37 Karanaan, Rosdi Abd Ghani. Manakala Ketua Jurulatih, Ramlee Tahir dan dibantu oleh Penolong Jurulatih yang terdiri daripada Affendy Lasiman, Abraham Zakaria, Jumil Rusli dan Kiong.

Rosdi yang juga pengurus pasukan turut memberi tajaan berupa hamper, bayaran pengadil dan sewaan padang bagi menganjurkan kejohanan tersebut.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN