Perimus menerima cendera kenangan daripada Julin
RANAU: Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Peringkat Zon Timur yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Tampios bermula pada hari ini (12 Julai) mampu mencungkil bakat terpendam murid sekolah.
Berucap mewakili Datuk Jonathan Yasin pada majlis perasmian pembukaan kejohanan tersebut, Penolong Pegawai Perhubungan Parlimen, Perimus Gahun berkata daerah Ranau telah ramai melahirkan pemain bola sepak ternama yang bukan sahaja telah mengharumkan nama peringkat daerah malah negeri. Antaranya seperti mantan Penjaga Gol Sabah, Austin Orow, Dunian Sulog dan Ignatius Joseph.
“Kita percaya bakat mereka juga telah digilap oleh guru-guru sejak berada di bangku sekolah lagi. Dalam kejohanan yang bermula pada pagi ini kita dapat saksikan ramai pemain mempunyai bakat terpendam. Saya difahamkan ada di kalangan mereka merupakan pemain termuda berumur 9 tahun yang masih berada di Tahun 3. Penglibatan aktif dalam kejohanan seperti ini sudah pasti dapat mencungkil bakat mereka yang seterusnya boleh diketengahkan sebagai wakil ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas Perimus.
“Kepada semua pemain yang mengambil bahagian diucapkan syabas. Bermainlah dengan semangat kesukanan yang tinggi. Kalah atau menang itu adat pertandingan. Sebenarnya anda semua adalah pemenang kerana telah terpilih dan berjaya mewakili sekolah masing-masing. Kita juga menghargai sokongan berterusan daripada ibu bapa khususnya kejohanan pada hari ini kerana telah memberi sokongan dan galakan kepada anak masing-masing untuk terlibat secara langsung dalam kejohanan ini,” ujar Perimus.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampios, Julin Yusop dalam ucapan aluannya berkata penganjuran kejohanan bola sepak bawah 12 tahun dirangka selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu bagi melahirkan pelajar yang seimbang dan berketrampilan dalam semua aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
“Kecemerlangan dalam bidang akademik tidak mencukupi dan menjamin pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tanpa penglibatan secara aktif dalam bidang sukan. Melalui sukan, bakat dan potensi pelajar dapat dicungkil dan seterusnya dikembangkan hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Sudah pasti seseorang pelajar dapat mengharumkan nama sekolah, zon, daerah, negeri dan kebangsaan,” jelas Julin.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Daini Radani (Pegawai Perhubungan Parlimen Merangkap Ketua Wanita Penyelaras Parlimen), Tiwol Alantas (Pegawai Perhubungan Parlimen), Rostinah Yamou (Pegawai Perhubungan Parlimen), Misi Sambulang (Kerani Pejabat Parlimen) dan guru-guru besar Zon Timur.