25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Kebun Dapur Tuaran perkasakan komuniti pertanian, 24 mentor dilantik

TUARAN: Program Kebun Dapur yang dihidupkan semula oleh Menteri Pertanian Sabah mencatat kemuncak penganjuran pada 15 Feb lalu di Astaka Padang Tuaran, dengan pelantikan 24 mentor bagi memperkasa inisiatif pertanian komuniti di daerah itu.

Antara yang dilantik sebagai mentor ialah Presiden Persatuan Usahawan Sabah, Puan Jessie Ambukon, yang akan membimbing peserta mengikut kepakaran industri masing-masing.

Program yang berlangsung sejak 14 Feb itu merupakan kesinambungan inisiatif lama yang diperbaharui bagi menggalakkan orang ramai memanfaatkan kawasan sekitar rumah sebagai kebun dapur untuk kegunaan sendiri, selain menjana pendapatan tambahan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang turut menyampaikan sijil pelantikan mentor program Kebun Dapur peringkat Tuaran.

Sepanjang dua hari kemuncak program pada 14 dan 15 Feb, pelbagai acara, pameran dan jualan diadakan, termasuk jualan ternakan seperti kambing, anak ayam, anak itik serta bibit burung puyuh. Turut mendapat perhatian ialah jualan ikan air tawar, udang galah, lobster dan katak, selain sesi lelongan kambing hidup.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk hasil tani seperti buah-buahan, sayur-sayuran, madu, kopi, beras, minuman dan produk asas pertanian serta anak pokok buah-buahan.

Program itu turut menampilkan jualan Rahmah atau jualan Madani dengan tawaran beras 10kg pada harga RM22 sebungkus bagi membantu meringankan kos sara hidup penduduk setempat.

Sementara itu, Datuk Jamawi Jaafar mengendalikan kursus cantuman pokok buah-buahan hampir dua jam, memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai teknik pembiakan tanaman yang berkesan.

Penganjuran semula Kebun Dapur dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh sekuriti makanan di peringkat komuniti, di samping membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk luar bandar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN