Kebenaran rentas daerah tanpa kebenaran polis notis lama

Home Tempatan Kebenaran rentas daerah tanpa kebenaran polis notis lama
Kebenaran rentas daerah tanpa kebenaran polis notis lama

Gambar fail

KOTA KINABALU – Notis kebenaran rentas daerah tanpa perlu kebenaran polis dan kebenaran maksimum empat orang dalam sebuah kenderaan tersebar dalam media sosial baru-baru ini adalah notis lama dikeluarkan tahun lepas (2020), kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

Beliau berkata, pergerakan di Sabah pada masa ini masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak membenarkan sebarang pergerakan rentas daerah.

“Pergerakan rentas daerah masih tidak dibenarkan kecuali dengan tujuan antaranya kecemasan, pekerjaan dengan surat majikan, janji temu vaksin Covid-19, perkhidmatan perlu, pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang melawat anak bawah 18 tahun.

“Hasil siasatan mendapati notis berkenaan adalah notis lama yang dikeluarkan pada 6 Mei 2020 dan disebar semula orang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Idris menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita tidak sahih atau palsu, yang mana perbuatan itu jika didapati bersalah boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, memperuntukkan denda maksimum RM50,000 dan penjara setahun. – Bernama