James (tengah) ketika meninjau Hospital Papar, semalam
PAPAR: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah), YB Datuk James Ratib bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas dimaklumkan bahawa satu kejadian kebakaran telah berlaku di Hospital Papar pada petang Isnin.
Setiba di lokasi, beliau disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (PKNS), Datuk Dr. Asits bin Sanna, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Bahagian Perubatan), Datuk Dr. Abdul Kahar bin Abd Asis, Pengarah Hospital Papar, Dr. Hj. Samsul Bin Tuah @ Ag. Tuah, Pegawai Daerah Papar, Muhammad Ali, pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, warga Hospital Papar serta pegawai-pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Papar.
James bersyukur kerana maklumat terkini yang diperolehi adalah tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan pihak Bomba dan Penyelamat daerah Papar telah berjaya memadamkan api.
Beliau dan rombongan telah melawat bahagian bangunan yang terjejas serta bangunan yang menempatkan pesakit-pesakit yang stabil sambil menyantuni mereka.
Bagi pesakit yang kurang stabil serta memerlukan rawatan dan penjagaan rapi, telah dirujuk ke hospital-hospital yang berdekatan.
Pihak Hospital Papar dengan koordinasi bersama Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu, serta sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
James mengucakan syabas kepada warga Hospital Papar atas tindakan yang pantas dalam memastikan keselamatan pesakit-pesakit terjaga serta menyelamatkan harta benda.
“Terima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat daerah Papar, yang bertungkus lumus mengawal api dari merebak; pihak PDRM dalam mengawal keselamatan serta kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam mengawal situasi ini,” kata beliau.
Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 7 malam itu, satu kebakaran berlaku melibatkan dua buah bangunan iaitu sebuah stor perubatan Farmasi jenis kekal yang berkeluasan 50×25 kaki terbakar 100% dan sebuah bangunan bilik sajian makanan hanya terkena bahangan.
Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 2 pancutan 200 kaki sumber air dari jentera dan pili Bomba terdekat.
Pasukan ERT Hospital juga menggunakan 3 aliran Hose reel bangunan Hospital untuk membuat pemadaman awal di lokasi.

James ketika melawat pesakit terlantar yang dibawa keluar daripada wad semasa kebakaran yang berlalu sekitar 7 malam, pada Isnin.
Pasukan Hazmat juga membuat pemeriksaan di lokasi kebakaran dan tiada sebarang keberbahayaan melibatkan bahan kimia, radioaktif dan gas beracun.
Kebakaran dapat dikawal pada jam 8.46 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 11.20 malam. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.