29 C
Kota Kinabalu
Rabu, Disember 4, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

KDN SEMAK DAN SIASAT PEMBERIAN KAD PENGENALAN KEPADA PTI DI SABAH

MADIUS

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia diminta menjelaskan tindakan yang telah diambil ke atas keterangan Jabar Khan berhubung pemberian kad pengenalan biru kepada Pendatang tanpa Izin (PTI) di Sabah.

Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) berkata, Jabar Khan telah membuat keterangan berkenaan 26 Februari 2007 seperti yang terkandung dalam hansard Parlimen.

“Saya minta KDN menyatakan tindakan atas keterangan Jabar Khan yang menyatakan bahawa UMNO Sabah terlibat memberi kad pengenalan biru kepada PTI dan menjadikan mereka pengundi,” katanya dalam pertanyaan lisan di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu jawapan bertulis hari ini (Selasa) kemudiannya memaklumkan bahawa pihak KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan semakan semula dan siasatan berhubung daftar kewarganegaraan.

“Ia termasuk memanggil semula pemegang Kad Pengenalan yang disyaki dikeluarkan secara tidak teratur dan tidak sah.

“Proses semakan dilaksanakan secara berterusan dan Kad Pengenalan yang dikeluarkan secara tidak teratur telah dibatalkan atas beberapa sebab antara lainnya sebab kematian, tidak hadir untuk siasatan atau permohonan dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan mengikut perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.

Hamzah berkata, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah (RCI) pada 06 September 2012 yang antaranya berperanan untuk menyiasat pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

“Siasatan dibuat dengan mengambil keterangan saksi namun tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas.

“Justeru, dakwaan bahawa terdapat kad pengenalan yang diberikan kepada PATI adalah merujuk kepada kad pengenalan yang diperoleh dengan cara yang mencurigakan atau dikeluarkan secara tidak teratur oleh sindiket dan orang yang tidak bertanggungjawab, sebagaimana yang dibangkitkan oleh saksi-saksi dari kalangan ahli politik, penulis, wartawan dan orang awam di dalam prosiding RCI,” katanya.

Tamat

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN