SERAH…Mansur (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Junaidi sambil diperhatikan Hassan (kiri sekali).
LABUAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sabah sentiasa prihatin terhadap kebajikan mana-mana atlit yang cemerlang dan telah memberikan sumbangan kepada negeri termasuk dalam sukan bola sepak.
Sehubungan itu KBS melalui Setiausaha Tetapnya, Mansur Haji Asun telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada bekas pemain bola sepak negeri Sabah era 90an, Junaidi Tuah yang diserang penyakit misteri sejak awal tahun lalu.
Majlis penyerahan sumbangan itu diadakan sempena Perlawanan Persahabatan Bola Sepak antara Kelab Bola sepak bekas Pemain Sabah era 90 an (KBS) dengan pasukan pilihan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di padang Sintetik Kompleks Sukan Labuan, pada Jumaat.

SUMBANGAN…Pengerusi Alumi Ex Sabah, Hashim (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Junaidi sambil diperhatikan Hassan (dua dari kiri).
Turut menyerahkan sumbangan kepada Junaidi ialah Kelab Alumni Ex-Sabah Footballler 90’s, sebanyak RM4,350 yang disampaikan oleh Pengerusi Kelab tersebut, Hashim Hamzah.
Menurut Hashim, sumbangan itu adalah hasil kutipan amal daripada siri perlawanan persahabatan lapan pasukan di Kota Kinabalu dan perlawanan persahabatan lima penjuru yang diadakan di Sandakan baru-baru ini.
Hadir sama menyaksikan majlis penyerahan sumbangan itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Belia) KBS, William Ahlan, Timbalan Setiausaha Tetap (Sukan) KBS, Putera Jali, Pengerusi Kelab Alumni Ex-Sabah Footboller 90’s Hashim Hamzah, Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA),Sophian Said dan bekas pemain bolasepak negara negara, Datuk Hassan Sani.
Terdahulu sebelum itu, Mansur ketika ditemui berkata, KBS bersimpati dengan kejadian yang menimpa bekas pemain bola sepak Sabah itu dan berharap akan cepat kembali sembuh seperti sedia kala.
“Salah satu kehadiran kami (KBS) ke Labuan adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada sdra Junaidi yang dahulu nya merupakan pemain bola sepak Sabah yang namanya cukup cemerlang dan banyak membantu pasukan bola sepak negeri Sabah dalam beberapa kejohanan bolsepak yang berprestij” katanya.