JAMES (tengah) bersama dengan pengurusan dan sebahagian pelatih ILKKM Kota Kinabalu. Turut sama TSUT KPMKR, Walter Kenson (tiga dari kiri)
KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju menggantikan katil dan tilam yang sudah uzur di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kota Kinabalu dengan serta-merta.
Demikian dinyatakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib pada hari Jumaat.
“Saya bersyukur kerana permohonan saya kepada KKM agar katil dan tilam khususnya di ILKKM Kota Kinabalu yang sudah uzur telahpun diluluskan serta-merta dan insyahallah akan dibekalkan dalam masa terdekat. Ini baru permulaan!,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengakhiri lawatan kerja sehari beliau di ILKKM Kota Kinabalu.
Berkenaan lawatan itu, katanya, “Di sini saya telah berpeluang bertemu sendiri dan bersuaikenal dengan pihak pengurusan dan seluruh warga ILKKM KK.
“Dalam lawatan singkat saya selaku Exco Kesihatan ke institut ini, saya sempat kongsikan berkenaan perkara-perkara yang sedang saya perjuangkan untuk manfaat kepada seluruh warga ILKKM di negeri ini.
“Ini terutama sekali berkaitan dengan kemudahan asas para pelatih, cabaran, hala tuju serta peranan mereka selepas tamat pengajian,” katanya.