Kastam Sabah rampas dadah bernilai hampir setengah juta.

Home Tempatan Kastam Sabah rampas dadah bernilai hampir setengah juta.
Kastam Sabah rampas dadah bernilai hampir setengah juta.

Dato’ Abdullah…… Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah.

KOTA KINABALU:Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menahan  dadah sebanyak 8.668 kilogram yang bernilai lebih kurang RM404,375.00 yang disimpan dalam kotak polisterin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah Dato’ Abdullah Bin Jaapar berkata, dadah itu berjaya dikesan oleh Pasukan Cawangan Penguatkuasaan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 29 Ogos 2021 lepas jam lebih kurang 7.00 pagi.

Katanya, anggota Keselamatan dari MasKargo mendapati terdapat hasil imej imbasan yang mencurigakan ke atas 16 kotak polisterin yang diisi dengan ikan sejuk beku (chilled seafood) di mana imej imbasan menunjukkan terdapat satu imej lapisan di bawah ikan tersebut. 

Kes dimaklumkan kepada pihak Kastam iaitu Cawangan Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan kemudian diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan, LTAKK. 

“Hasil pemeriksaan lanjut Cawangan Penguatkuasaan, LTAKK mendapati 16 bungkusan plastik lutsinar ditemui berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis Ketamine dengan anggaran berat dan nilai sebanyak 5.431 kilogram dan RM287,843.00, manakala dadah jenis Methamphetamie dianggarkan seberat 3.237 kilogram dengan nilai anggaran sebanyak RM116,532.00” katanya dalam sidang media hari ini.

Katanya, seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun ditahan berhubung kes ini bagi membantu siasatan.

Dato’ Abdullah berkata, modus operandi kes ini adalah dengan mengisi bahan yang disyaki bahan terlarang dadah jenis Ketamine dan Methamphetamine ke dalam plastic lutsinar sebelum disembunyikan ke dalam ruangan tersembunyi di bahagian dalam kotak polisterin ikan sejuk beku. 

Jelasnya, kaedah ini dipercayai digunakan dengan tujuan untuk mengaburi mata pihak penguatkuasaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas Dato’ Abdullah lagi, sejak awal Januari 2021 sehingga kini, JKDM Sabah telah berjaya memperoleh dadah jenis Methamphetamine seberat 235.358 kilogram dan dianggarkan bernilai RM8.47 juta, dadah jenis Ketamine seberat 5.431 kilogram dengan nilai anggaran sebanyak RM287,843.00, ganja seberat 1.022 kilogram dengan nilai anggaran sebanyak RM2,555.00 dan ketum seberat 3.400 dengan nilai RM34.00.

Sehingga kini katanya, seramai enam (6) orang yang disyaki (OYDS) ditahan dan dua (2) orang kena tuduh (OKT) dihadapkan ke mahkamah untuk perbicaraan.

Sehubungan dengan itu katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi hasil, malah ianya turut mendatangkan  ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru itu JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. 

Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identitI setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan“  katanya.

Tegasnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti melibatkan penyeludupan dadah.