Karnival Kokurikulum, Universiti Malaysia Sabah sekali lagi menjadi medan kemenjadian mahasiswa dalam usaha membentuk mahasiswa holistik melalui Matapelajaran Umum Kursus Kokurikulum Berkredit. Karnival ini berlangsung serentak di tiga buah kampus UMS pada 27 hingga 29 Januari 2023. Program yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMS,
YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Hj. Mansor memberi ruang kepada mahasiswa membentangkan hasil pembelajaran sepanjang semester termasuk aktiviti kemasyarakatan (UMS SPRINT), hasil inovasi, penyertaan dan pencapaian dalam menyertai program luar pusat.
Profesor Madya Dr. Jurry Foo berkata Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS dalam merealisasikan matlamat UMS sebagai peneraju masyarakat inovatif mula melibatkan komuniti dalam mempergiatkan lagi penyertaan masyarakat setempat dalam menjayakan karnival kokurikulum.

HASNAH JUTIRIN
Beliau sebagai Pengarah pusat itu yakin karnivai ini adalah ruang terbaik sebagai pembudayaan kemasyarakatan. Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Suara Buluh Perindu Kinabalu (SBPK) misalnya telah dilibatkan untuk membimbing pelajar kursus Rekacipta Muzik Bambu dalam persediaan persembahan karnival ini. Persatuan ini yang juga merupakan rakan penyelidik projek Taman Budaya dan Inovasi Kundasang mempunyai hubungan baik dengan UMS dalam pemindahan ilmu. Manakala hubungan baik berterusan UMS dengan kementerian Kesihatan Malaysia melalui kursus Paramedik sentiasa memberikan peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada tabung darah melalui karnival ini. Penglibatan masyarakat Labuan dalam karnival Kokurikulum di Kampus Antarabangsa Labuan, khususnya sebagai rakan penganjur dan peserta pertandingan termasuk Dominant Marketing Agency (DMA), Hamka Muezza Cattery, Jabatan Veterinar Labuan, RMY Cat House dan Unit Tabung Darah Hospital Labuan serta Kelab Memanah Pemanah Pulau telah membuktikan UMS relevan sebagai pusat yang mampu memasyarakatkan ilmu dan memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kemahiran sosial. Manakala penglibatan masyarakat di Kampus Sandakan akan mula dipergiatkan pada semester hadapan.
Naib Canselor universiti Malaysia Sabah dalam ucapan perasmian menyeru mahasiswa agar dapat mengaplikasikan sebaiknya ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari dalam kursus kokurikulum berkredit untuk menghadapi kehidupan sebenar, kerana beliau yakin PKPPUMS telah menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik dengan jurulatih yang kompeten.