Imbasan tomografi berkomputer menunjukkan kanser kolorektal telah merebak ke hati.
KANSER kolorektal kini berada dalam kelompok kanser paling kerap berlaku di Malaysia, namun sebahagian besar kes masih dikesan pada peringkat lewat, sekali gus menjejaskan peluang rawatan berkesan dan kadar kelangsungan hidup pesakit.
Berdasarkan Laporan Perangkaan Kanser Kebangsaan 2017–2021, kanser kolorektal merupakan antara kanser utama di negara ini, melibatkan lelaki dan wanita tanpa mengira kaum. Lebih membimbangkan, ramai pesakit hanya mengetahui mereka menghidap penyakit itu selepas gejala menjadi serius atau apabila kanser telah merebak ke organ lain.
Menurut Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital UMS, Universiti Malaysia Sabah, kelewatan pengesanan berpunca daripada kurangnya kesedaran masyarakat terhadap gejala awal yang lazimnya tidak spesifik.
“Pada peringkat awal, kanser kolorektal sering tidak menunjukkan tanda yang jelas. Apabila gejala muncul, ia biasanya ringan seperti sembelit berpanjangan, cirit-birit, perut kembung atau rasa tidak puas selepas membuang air besar. Ramai menganggapnya sebagai masalah biasa seperti gastrik atau tekanan kerja,” katanya.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih serius apabila pesakit hadir dengan tanda usus tersumbat seperti perut kembung teruk, muntah dan gagal membuang air besar. Dalam kes tertentu, kanser telah merebak ke hati sehingga menyebabkan sakit di bahagian atas kanan abdomen dan kekuningan, atau ke paru-paru yang mengakibatkan masalah pernafasan.
Pendarahan Dubur Sering Disalah Anggap
Dr Mohd Firdaus berkata satu lagi faktor utama ialah kecenderungan masyarakat mengaitkan pendarahan dubur dengan buasir semata-mata.
“Pendarahan ketika membuang air besar sering dianggap buasir dan dirawat sendiri tanpa pemeriksaan lanjut. Hakikatnya, ia boleh menjadi tanda penting kanser kolorektal, lebih-lebih lagi jika disertai penyusutan berat badan, kurang selera makan, anemia atau perubahan pola buang air besar,” katanya.
Sikap memandang ringan gejala berkenaan menyebabkan peluang pengesanan awal terlepas, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi.
Stigma dan Rasa Malu Hambat Pemeriksaan
Isu sensitiviti budaya dan rasa malu juga dikenal pasti sebagai penghalang utama. Pemeriksaan seperti kolonoskopi sering dianggap memalukan dan menakutkan, menyebabkan pesakit menangguhkan temu janji walaupun gejala berlarutan.

(kiri) Profesor Datuk Dr Ismail Sagap, (kanan) Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati.
Profesor Datuk Dr Ismail Sagap, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kolorektal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata stigma terhadap penyakit usus perlu ditangani secara berterusan melalui pendidikan kesihatan awam yang komprehensif.
“Perbincangan mengenai najis, dubur dan kolonoskopi tidak seharusnya dianggap tabu. Ia adalah prosedur perubatan biasa yang selamat dan profesional. Persepsi negatif hanya menyebabkan pesakit menyembunyikan gejala dan menangguhkan rawatan,” katanya.
Budaya Saringan Masih Rendah
Menurut beliau, budaya saringan berkala di Malaysia juga masih rendah berbanding negara maju yang menggalakkan saringan seawal usia 45 atau 50 tahun walaupun tanpa gejala.
Saringan bertujuan mengesan polip usus — ketumbuhan kecil yang boleh bertukar menjadi kanser jika tidak dirawat. Bagi individu berisiko rendah, ujian najis boleh dijadikan langkah awal yang mudah dan tidak invasif. Jika keputusan tidak normal, kolonoskopi akan dilakukan bagi memastikan diagnosis tepat.
Bagi individu dengan keputusan kolonoskopi normal, saringan boleh diulang setiap 10 tahun, manakala mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal disaran menjalani pemeriksaan lebih awal dan lebih kerap.
Kesan Diagnosis Lewat Kanser kolorektal peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup yang tinggi dan rawatannya lebih mudah, kadangkala hanya melibatkan pembedahan tanpa rawatan tambahan. Sebaliknya, diagnosis lewat memerlukan gabungan pembedahan kompleks, kemoterapi dan radioterapi, dengan risiko kesan sampingan yang menjejaskan kualiti hidup serta meningkatkan kadar kematian.
Dr Ismail menegaskan pengukuhan perkhidmatan kesihatan primer juga penting dalam mempercepatkan rujukan kes berisiko. Pengamal perubatan di klinik kesihatan dan klinik swasta perlu peka terhadap gejala amaran serta mematuhi garis panduan klinikal terkini bagi memastikan pesakit dirujuk lebih awal ke pusat pakar.
“Kerjasama antara masyarakat, pengamal perubatan dan pembuat dasar amat penting. Kanser kolorektal tidak seharusnya terus menjadi ‘pembunuh senyap’ yang hanya disedari apabila sudah terlambat,” katanya.
Beliau menambah, dengan kesedaran, saringan dan tindakan awal, lebih banyak nyawa boleh diselamatkan, sekali gus mengurangkan beban rawatan pada peringkat lanjut.



