Maslah Rompado.
RANAU: “Orang kampung rela mati pertahan tanah adat”.
Itu antara kata-kata yang diungkapkan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Tanah Mawasi yang meliputi Kampung (Kg) Malinsau, Kg Wayan dan Kg Sinurai, Maslah Rompado.
Maslah, 39, berkata, mereka sudah berjuang untuk mendapatkan tanah itu sejak 1974 lagi dan sekarang kes pemilikan tanah itu masih dalam perbicaraan di mahkamah.
Beliau berkata, sekiranya mereka kalah sekali lagi di mahkamah, mereka tidak akan berganjak kerana itu tanah itu memang diusahakan oleh sejak zaman nenek moyang mereka.
Katanya, sebenarnya mereka berharap isu tanah Mawasi yang melibatkan tiga kampung ini boleh diselesaikan di luar mahkamah kerana mereka sudah banyak berhabis wang ringgit untuk turun naik mahkamah.
“Kami bukan orang senang…orang susah bah kami ni,” katanya kepada Borneo Today, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, tanah yang menjadi perkampungan dan ladang sawit itu sudah diusahakan penduduk di situ sejak 70an lagi.
Masalah berkata, mereka membuka tanah itu sudah lama jadi bagaimana ada pihak lain cuba merampas yang menjadi milik orang kampung. Penduduk di sini sudah lama memohon geran tapi tiada kelulusan dengan alasan berlaku pertindihan.
Beliau berkata, semasa zaman Parti Bersatu Sabah (PBS), jawatankuasa petugas khas yang menjalankan pemantauan tanah adat (NCR) turut menyenaraikan kawasan Kg Malinsau sebagai pemilik NCR.
Antara kawasan tanah yang menjadi pertikaian di Kg Malinsau.
Malah, ketika pemerintahan Tan Sri Bernard Dompok pada 1998, proses pengukuran tanah seluas lebih 2,000 ekar yang dijalankan pihak luar di kampung itu juga telah dibatalkan.
Ketika itu orang kampung fikir, pengambilan tanah milik mereka telah selesai. Namun, tiada siapa menyangka tuntutan tanah daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beluran, Ajad Oyong itu berterusan.
Pada 2009, geran atas nama bekas ADUN Beluran itu berjaya dikeluarkan Pejabat Tanah Ranau. Namun, apa yang menghairankan, penama ini telah meninggal dunia pada 1995.
“Penama ini sudah meninggal dunia dan anaknya meneruskan tuntutan. Tapi, bagaimana tanah yang mendapat bantahan sejak 2005 itu boleh diluluskan?.
“Kami masih menyimpan surat bantahan yang dibuat antara 2005-2009 jadi, amat mustahil pejabat tanah tidak melihat kawasan tanah yang dipohon itu menerima bantahan penduduk kampung yang tinggal di sana sejak 70an.
“Pejabat Tanah Ranau mendakwa notis makluman mengenai permohonan tanah atas nama bekas ADUN Beluran itu telah dilekatkan di pejabat dan tiada bantahan diterima.
“Bagaimana dengan surat bantahan orang kampung yang dihantar sebelum ini? Surat bantahan itu mempunyai pengesahan penerimaan pejabat tanah,” ujarnya.
Maslah berkata, semasa mula-mula mengambil alih pengurusan tuntutan itu dan melihat sendiri kronologi kes tanah Mawasi tersebut, beliau merasa penduduk kampung teraniaya.
Atas sebab itu, beliau berharap siapa juga menerajui kerajaan selepas ini, masalah tanah Mawasi itu diharap mampu diselesaikan.
Jika ianya boleh diselesai di luar mahkamah, itu jauh lebih baik. – BorneoToday (SR)