RANAU: Kenyataan Menteri Sumber Manusia,V Sivakumar mengenai kadar tertinggi penggangguran di Sabah perlu dipandang serius semua pihak khasnya kepimpinan negara.
Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Kong Soon Choi berkata, amat sedih sekali apabila menilai semula potensi negeri ini yang kaya dengan pelbagai sumber asli tetapi ramai yang masih gagal mendapatkan pekerjaan.
“Kadar pengganguran di Sabah seperti mana yang dimaklumkan menteri berkenaan perlu dipandang serius khasnya kepimpinan utama negara ini. Kenapa asyik Sabah bergelumang dengan isu sedemikian”. Katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kong yang juga Pengerusi Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) berkata, jurang pembangunan antara Wilayah Sabah,Sarawak dan Semenanjung adalah fokus utama yang perlu dinilai bagi mempastikan rakyat Sabah mampu mendapat peluang pekerjaan yang lebih mudah.
Beliau mencadangkan agar kerajaan pusat dengan kerjasama kerajaan negeri perlu mempelawa lebih banyak pelabur dalam sektor perkilangan mega di negeri ini agar para belia dan anak-anak muda tidak berhijrah ke Semenanjung semata-mata mendapatkan pekerjaan.
“Sebagai contohnya jika syarikat Proton membuka cawangan kilang automotif di Sabah, sudah tentu ramai belia dan anak muda Sabah berpeluang mendapatkan pekerjaan dalam sektor tersebut. Begitu juga sektor perkilangan lain yang mampu menawarkan gaji setimpal yang lebih menarik minat”. Jelasnya.
Ujarnya, dalam masa sama, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya juga perlu diberi keutamaan agar masyarakat dari pendalaman senang keluar ke pekan atau bandar untuk mendapatkan pekerjaan.
Jelas beliau, rakyat yang tinggal jauh di pendalaman akhirnya memilih untuk tinggal di kampung dan mengerjakan tanah pertanian sebagai sumber pendapatan kerana sukar untuk keluar ke pekan dan bandar akibat sistem perhubungan yang tidak sempurna.
Pada Isnin, Menteri Sumber Manusia dalam ucapan merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah menyatakan, Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu seramai 169,800 orang atau meliputi 29 peratus daripada 588,700 jumlah penganggur di seluruh negara.
Katanya, kadar pengangguran di Sabah mencecah 7.7 peratus dalam suku pertama tahun ini dan kadar itu juga lebih dua kali ganda berbanding 3.5 peratus pada peringkat nasional.