Madius (kiri) sedang mendengar taklimat berkaitan perkembangan di Zon Tenggara. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar (kanan).
LAHAD DATU: Pencapaian pembekalan tenaga elektrik di Zon Tenggara Sabah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan catatan dua digit dalam Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI).
Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, zon itu yang merangkumi Lahad Datu, Kota Kinabatangan dan Semporna menunjukkan penurunan kadar gangguan yang ketara dalam tempoh tiga tahun.
“Lahad Datu mencatatkan SAIDI sebanyak 42.77 minit per pelanggan per tahun pada tahun ini berbanding 106.77 pada tahun 2022 dan 104.51 minit per pelanggan per tahun pada 2023.
“Malah di beberapa kawasan seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) merekodkan SAIDI satu digit iaitu dibawah 10 minit minit per pelanggan per tahun,” katanya.
Madius berkata demikian dalam satu kenyataan di sini sempena siri lawatan kerja beliau selama empat hari ke SESB Zon Tenggara dan Selatan.
Menurut beliau, kadar SAIDI pembekalan elektrik di Kota Kinabatangan pada tahun ini adalah 53.23 minit per pelanggan per tahun iaitu peningkatan prestasi yang jauh lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya.
“Pada tahun 2022 dan 2023, SAIDI di daerah itu masing-masing adalah 94.15 dan 169.75 minit per pelanggan per tahun.
“Daerah Kunak juga turut merekodkan pengurangan drastik gangguan elektrik dengan kadar SAIDI 30.17 minit per pelanggan per tahun.
“Pada tahun 2022 daerah ini merekodkan 66.57 dan 75.78 minit pada tahun lalu,” jelas Ahli Parlimen Tuaran itu lagi.
Ujarnya, prestasi ketiga-tiga daerah di Zon Tenggara itu hampir sama dengan kadar pembekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia yang turut mencatatkan hanya dua digit SAIDI iaitu 46.10 minit per pelanggan per tahun pada tahun 2023 dan 45.06 pada 2022.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua kakitangan SESB di Zon Tenggara atas pencapaian ini.
“Sudah tentu pencapaian ini tidak datang dengan mudah melainkan atas usaha dan kerja keras siang dan malam,” katanya.
Dalam pada itu, Madius yang juga merupakan mantan Timbalan Ketua Menteri Sabah memaklumkan bahawa antara punca yang menyebabkan bekalan elektrik terputus adalah sambungan haram yang menyebabkan kerosakan akibat lebihan beban pada konduktor dan fius pada kotak fius agihan pada Pencawang Elektrik serta gangguan tumbuh-tumbuhan kepada kabel-kabel yang belum bersalut.
“Di Zon Tenggara 60 peratus daripada SAIDI disebabkan oleh kegiatan penjenayah mencuri elektrik.
“Saya sendiri telah meninjau sebuah perumahan setinggan iaitu di Kampung Puyut, Lahad Datu dan seterusnya membuat laporan polis untuk mereka menyiasat dan mengenalpasti siapakah penjenayah tersebut.
“Kita berharap agar tindakan segera akan diambil pihak berkuasa untuk membuat siasatan, menangkap dan mendakwa semua yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini,” tambah Madius lagi.