30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kaamatan SPCR disambut dengan meriah

Rev Fr Ambrose memalu gong perasmian sambutan itu sambil diperhatikan oleh Fr Wilson, Jonathan, Amisah dan lain-lain


RANAU: Sambutan Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap tahun memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menghargai penat Lelah golongan petani yang bekerja keras demi memastikan keterjaminan makanan kepada semua orang.


Rektor Paroki St Peter Claver Ranau (SPCR), Rev Fr Ambrose M Atang berkata, tanpa usaha golongan petani tidak mungkin masyarakat dapat menikmati makanan yang berpanjangan.


“Pesta kaamatan merupakan perayaan kebudayaan bagi kadazandusun dan juga kesyukuran kita atas makanan yang kita terima hasil dari usaha para petani kita.


“Merekalah yang bertungkus-lumus menanam dan menuai di bawah sinaran matahari yang panas terik dan hujan,” katanya.


Fr Ambrose berkata demikian semasa ucapannya sempena perayaan Misa Kudus dan sambutan Pesta Kaamatan Paroki Ranau 2024 yang diadakan di Gereja SPCR pada hari Ahad.


“Salam damai dan syukur kepada Allah Bapa kerana hari ini kita dapat berkumpul bersama-sama untuk merayakan Misa Kudus dan sambutan Pesta Kaamatan Paroki Ranau yang diadakan di Gereja SPCR.


“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan penuh syukur dan terima kasih kepada semua tim pelaksana dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam persiapan Pesta Kaamatan ini serta kepada semua petugas liturgi pada hari ini.


“Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Paderi, Religius dan semua umat yang hadir pada hari ini terima kasih atas kehadiran bagi memeriahkan lagi suasana Pesta Kaamatan ini,” katanya.


Fr Ambrose mendoakan agar semua yang hadir dalam upacara itu dapat menemui wajah Yesus dalam setiap tindakan pelayanan dalam gereja mahupun di luar gereja.


“Semoga melalui Pesta Kaamatan Peringkat Paroki ini dapat merapatkan lagi ikatan persaudaraan kita di dalam satu Tubuh dalam Kristus. Semoga Tuhan Yesus memberkati dan melindungi kita selalu.


“Selamat menyambut Pesta Kaamatan Peringkat Paroki Ranau. Kotobian tadau tagayo do Kaamatan,” ucap beliau.


Sambutan Pesta Kaamatan SPCR kali ini melibatkan banyak aktiviti meriah seperti sukan neka, pertandingan menyanyi SPCR Got Talent, tarian, persembahan paluan gong, cabutan tiket bertuah, pertandingan pakaian dan rumah tradisi terbaik dan lain-lain.


Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat seperti Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, ADUN Lantikan Datuk Amisah Yassin, Rev Fr Wilson Francis, Rev Fr Ned Columba, Pengerusi MPPR SPCR Dr Goffri Neghilon, pemimpin-pemimpin tempatan dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN