Justinus harap mampu menyegarkan karya muzik selepas PKP
TAMBUNAN: Justinus Asong, seorang penyanyi berbakat yang berasal dari Kampung Monsok Tambunan berharap mampu bangkit semula selepas perjalanan karier seninya terhenti seketika selepas Pandemik Covid 19.
Sebelum gejala yang melanda seluruh dunia itu, beliau telah mendapat momentum dalam bidang seni nyanyian dengan minat yang mendalam terhadap lagu-lagu artis tempatan yang terkenal.
Antara artis yang menjadi inspirasinya termasuk Benn Simon Bukag seorang komposer terkenal di Sabah, George Lian, Francis Landong, dan Julius Guduk yang merupakan penyanyi lagenda Sabah.
Mengikuti jejak langkah mereka, Justinus telah mengambil langkah pertama dalam karier seninya dengan mengikuti pelbagai pertandingan nyanyian.
Sebelum ini, Justinus telah menerbitkan album “Sunduan” 1 dan 2 bersama Studio PUSAKAG, serta merakamkan dua lagu duet bersama artis Beatrice Kisin, termasuk lagu “Sondihinku”, yang ditulis oleh Benn Saimon Bukag.
Kejayaan ini merupakan langkah penting dalam karier seni beliau.
Kini, beliau berusaha untuk mengeluarkan lagu-lagu lama yang selama ini tertangguh agar dapat dinikmati kembali oleh pendengar.
Antara lagu beliau yang telah dihasilkan dan boleh di dengar di saluran Youtube adalah Noromuk Pirotian, Ahimpatoi Ko Pana, Kaus Dagai Ku Inai, Nunu Maa, Mamanau Aiso Kotutukon selain beberapa lagu yang terdapat di dalam Album Sunduan 1 dan Album Sunduan 2.
Justinus yang juga merupakan seorang yang aktif dan memegang jawatan penting di dalam Persatuan Artis Tempatan Sabah, Kelab Rekreasi Artis Sabah dan juga Kelab Kupi Kupi FM 96.3 Fm.

Beliau tidak pernah putus asa dalam menghasilkan lagu-lagu baru walaupun sibuk dengan kerjaya hakiki serta sibuk menguruskan cafénya yang terletak di Jalan Kokol Menggatal, Kota Kinabalu.
Penerbitan lagu-lagu baru ini adalah lembaran baru bagi Justinus setelah menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kekangan semasa kawalan ketat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perjalanan Justinus dalam bidang seni walaupun mengharungi liku-liku pahit manis dan suka duka namun banyak pengalaman manis serta kejayaan yang telah dicapai beliau termasuk menjadi Johan Sugandoi Kaamatan UMSL pada tahun 2010 dan meraih tempat ketiga di Sugandoi Labuan pada tahun 2011.
Selain itu, beliau juga terpilih dalam Top 5 Labuan KDM Idol. Justinus telah mengikuti kursus pemantapan vokal bersama tenaga pengajar Diana Steven Tuning dan pelbagai kelas vokal.
Dari situ, beliau mendapat Sijil Vokal dan Penjurian dari organisasi seperti Kadazan Dusun Cultural Association Kota Kinabalu (KDCA KK), Kadazan Dusun Cultural Association Labuan (KDCA Labuan dan juga daripada Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA).
Masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan masa dan situasi semasa telah menyebabkan pengeluaran lagu-lagu Justinus terhenti, namun Justinus bersemangat untuk kembali ke dunia muzik dengan produk baru yang pastinya dinanti-nantikan oleh semua peminatnya.
Justinus berterima kasih kepada Harian Ekspres dan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan dan semua penyokong serta peminatnya yang tidak jemu memberikan sokongan tanpa henti terhadap karier seninya.