ADVERTISEMENTspot_img

Permohonan UPKO Sertai GRS Bukti Penyatuan Parti Tempatan Semakin Kukuh

Armizan Ketika ditemui media

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berhubung permohonan rasmi UPKO untuk menyertai GRS merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam landskap politik Sabah.

Menurut Armizan, UPKO telah menyerahkan surat permohonan rasmi untuk menjadi parti gabungan GRS pada 29 Mei 2026 kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor melalui Presidennya, Datuk Ewon Benedict bersama kepimpinan tertinggi parti. Perkara ini membuktikan kesungguhan UPKO untuk menjadi sebahagian daripada perjuangan politik tempatan yang berpaksikan kepentingan Sabah.

Langkah GRS membawa permohonan tersebut ke peringkat Majlis Tertinggi untuk pertimbangan menunjukkan bahawa gabungan itu mengamalkan proses yang tersusun, telus dan berlandaskan semangat muafakat.

Usaha libat urus yang sedang dilaksanakan oleh Armizan bagi mendapatkan maklumat tambahan juga mencerminkan komitmen GRS dalam membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan gabungan dan rakyat Sabah.

Hakikat bahawa UPKO secara sukarela memberikan sokongan kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sejurus selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu menunjukkan keikhlasan parti itu untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan Sabah di bawah kepimpinan GRS.

UPKO bukanlah sebuah parti yang asing dalam perjuangan politik negeri. Dengan sejarah dan legasi perjuangan yang panjang, khususnya dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, penyertaan parti itu berpotensi memperkukuhkan lagi suara gabungan tempatan dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan pembangunan pada masa hadapan.

Apa yang paling penting, seperti yang ditegaskan oleh Armizan, ialah komitmen UPKO untuk terus berpegang teguh kepada empat teras utama perjuangan GRS iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah Unite. Teras-teras ini bukan sekadar slogan politik, tetapi menjadi asas kepada usaha memperjuangkan hak negeri, mempercepat pembangunan, meningkatkan kemakmuran rakyat dan memperkukuhkan perpaduan seluruh masyarakat Sabah.

Sekiranya permohonan UPKO diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijadualkan pada 18 Jun ini, ia bakal menjadi satu lagi langkah penting ke arah penyatuan parti-parti tempatan di bawah satu payung yang lebih kukuh dan stabil demi masa depan Sabah

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN