Antara pemilik produk yang menjual di bazar Fama bergambar bersama Hasin (kanan).
RANAU: Jualan Bazar Raya Produk Industri Asas Tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini sudah bermula di pekan Ranau sejak 13-19 April, 2023.
Ratusan produk berupa kuih-kuih dan biskut yang dihasilkan oleh 19 ahli berdaftar dengan FAMA Ranau, menyediakan khemah tempat mempamer dan menjual produk mereka bermula 8.00 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.
Pegawai Pemasaran Fama Ranau, Hasin Bin Abas ketika ditemui selepas memantau bazar tersebut, mengharapkan kepada para ahli supaya memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang itu untuk menjual hasil produk masing-masing.
“Saya berharap kepada semua peserta agar menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memasarkan produk mereka.
“Peluang seumpama adalah untuk mempamer serta menjual biskut buatan sendiri atau kumpulan kepada para pelanggan”, jelas Hasin.
Beliau menyifatkan peluang itu disediakan pihak Fama untuk menambah pendapatan keluarga para ahli selain menjual semasa tamu Fama daerah yang diadakan setiap hari Rabu di tapak tamu Ranau.
Ramai peserta yang ditemui, merakam penghargaan dan terima kasih kepada pihak FAMA daerah Ranau, kerana memberi peluang kepada para ahli untuk menjual produk mereka seminggu sebelum sambutan Raya tidak lama lagi.