RAISIN (dua kiri) turut bersama-sama masyarakat Kampung Purakagis dan kampung sekitar bergotong-royong menjayakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha di Ranau.
RANAU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPN Sabah) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi penganjuran Majlis Korban dan Sambutan Aidiladha 1447 Hijrah bersama komuniti Kampung Purakagis di sini hari ini.
Program anjuran Sektor Pendidikan Islam JPN Sabah dengan kerjasama komuniti kampung itu dirasmikan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.
Majlis berkenaan diadakan bagi mengimarahkan syiar Aidiladha selain mempererat hubungan antara jabatan, sekolah dan masyarakat setempat menerusi penglibatan komuniti secara menyeluruh.
Raisin berkata program seumpama itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memberi penekanan terhadap keterlibatan komuniti, pengukuhan nilai, pembinaan karakter murid serta pengupayaan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja memupuk semangat pengorbanan dan kesyukuran, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara warga pendidikan dengan masyarakat.
“Kita mahu nilai empati, ihsan dan semangat gotong-royong terus diterapkan dalam budaya kerja warga pendidikan serta kehidupan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium memperkukuh hubungan strategik antara jabatan dan komuniti luar bandar.
Katanya, semangat kebersamaan dan budaya saling membantu yang ditonjolkan masyarakat Kampung Purakagis mencerminkan identiti masyarakat Sabah yang harmoni dan bersatu padu.
Dalam program itu, sebanyak empat ekor lembu korban disumbangkan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) untuk diagihkan kepada penduduk kampung, golongan asnaf dan keluarga memerlukan di kawasan berkenaan.
Program tersebut turut melibatkan penyertaan pegawai JPN Sabah, sekolah-sekolah sekitar Ranau, sukarelawan komuniti serta belia kampung.
Sementara itu, JPN Sabah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas usaha menjadikan pelibatan komuniti sebagai salah satu pendekatan strategik dalam menjayakan RPM 2026-2035.



