YUSUP (empat dari kanan) dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan merakam kenangan di hadapan Jabatan Pendidikan Sabah.
LABUAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan Bengkel Pelan Taktikal, Sasaran Kerja Tahunan dan Keberhasilan 2022 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendididk negeri Sabah, baru-baru ini.
Bengkel selama tiga hari itu telah dihadiri Pengarah Pendidikan, Timbalan-timbalan Pengarah dan Ketua-ketua Penolong Pengarah daripada 14 sektor.
Urusetia program, Faridah Amit berkata bengkel ini adalah asas penting kepada penyelarasan perancangan gerak kerja secara berfokus di peringkat jabatan.
“Objektif utama program ini adalah untuk menetapkan matlamat dan keberhasilan sektor bagi setiap aktiviti berdasarkan Pelan Strategik yang telah dirangka sejak November tahun lalu.
“Hal ini dapat diterjemah melalui penyediaan Pelan Tindakan dan Sasaran Kerja Tahunan 2022,”katanya.

PENGERUSI EKSA JPN Sabah, Azizah menerima sijil penghargaan daripada Yusup.
Terdahulu, delegasi JPN Labuan mengadakan sesi lawatan penandaarasan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) ke JPN Sabah.
Lawatan ini memberi peluang setiap sektor melihat pengurusan EKSA di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selain bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea dalam memantapkan pelaksaaan EKSA dalam jabatan masing-masing.
Sesi penutupan bengkel yang diurusetiakan oleh Sektor Perancangan itu disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Yusup Haji Mohamad.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua Timbalan Pengarah dan Ketua Penolong Pengarah yang telah memberi komitmen terbaik dalam menyediakan perancangan pelaksanaan aktiviti-aktiviti tahun 2022.
“Kita telah berjaya menyediakan satu rangka perancangan yang terbaik dan selepas ini kita berusaha bersama-sama untuk melaksanakan perancangan secara terbaik bagi mendepani cabaran pendidikan global dalam memastikan dua matlamat utama iaitu meningkatkan kualiti sekolah dan kemenjadian murid tercapai dengan jayanya,”kata Yusup.
Menyorot hasil lawatan penandaarasan EKSA, beliau turut menyarankan agar semua sektor dapat menerapkan elemen dan imej korporat di dalam sektor masing-masing.
“JPN Sabah telah berjaya menonjolkan imej korporat melalui pelbagai bentuk hiasan dan pameran. Saya yakin dan percaya kita juga mampu untuk mencorakkan imej korporat kita sendiri, Justeru komitmen dan idea kreatif perlu digembleng bersama bagi mencapai hasrat pensijilan semula EKSA cemerlang pada tahun ini,”tegasnya.
Sesi perbengkelan dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Mohd Nizam Yasim.