Hajiji ketika meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Penampang–Tambunan pada Sabtu
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri susulan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa kawasan di Sabah.
Beliau berkata, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diarahkan untuk diaktifkan segera bagi memastikan setiap bentuk bantuan dapat disalurkan dengan pantas dan teratur.
“Dengan pengaktifan JPBD, kerja-kerja penyelamatan, pemindahan mangsa serta penyediaan keperluan asas di pusat pemindahan dapat digerakkan lebih cepat,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Hajiji turut menggesa rakyat agar sentiasa peka terhadap amaran cuaca selain mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan nyawa.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan memastikan semua mangsa banjir dan tanah runtuh menerima bantuan makanan, logistik serta sokongan lain dengan segera.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih dan rakyat yang terjejas diberi ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang tiba dari Kuching pagi tadi, bergegas meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Penampang–Tambunan.
Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan konsesi penyelenggaraan jalan raya telah diarahkan segera membersihkan kawasan terjejas, dengan satu lorong sudah dibuka untuk laluan kenderaan.
“Saya telah mengarahkan supaya kerja pembersihan disiapkan dalam tempoh dua hari dengan penambahan jentera dan kerja 24 jam, agar kedua-dua lorong dapat digunakan sepenuhnya demi keselamatan dan kelancaran rakyat,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu serta memberi jaminan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan khairat kematian dan bantuan membina semula kediaman kepada keluarga terjejas.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang; serta Ketua Bahagian PGRS Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun.



