OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah (MSSD) Ranau ke kejohanan peringkat negeri di Lahad Datu pada Mac depan, bakal terima sumbangan berjumlah RM10,000.
Sumbangan tersebut diumumkan sendiri Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Olahraga, Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) peringkat daerah di Kompleks Sukan Ranau, baru-baru ini.
![](http://borneobuletin.com/wp-content/uploads/2020/02/FB_IMG_1582047098608-1024x684.jpg)
Menurut Jonathan, dengan sedikit sumbangan tersebut, akan membantu kontinjen Ranau membuat persiapan dari pelbagai sudut, sebelum dan semasa kejohanan di peringkat negeri nanti.
Jonathan yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut mengumumkan kesediaannya untuk memberikan insentif sebagai hadiah galakan kepada pasukan (kontinjen) sekolah yang bakal memenangi johan, naib johan dan tempat ketiga MSSD Ranau kali ke-48.
![](http://borneobuletin.com/wp-content/uploads/2020/02/FB_IMG_1582046953905-684x1024.jpg)
“Johan kategori Sekolah Menengah akan menerima RM10 ribu, naib johan menerima RM6 ribu dan RM4 ribu bagi tempat ketiga, manakala johan kategori zon sekolah rendah menerima RM7 ribu, naib johan RM5 ribu dan tempat ketiga RM3 ribu,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing, mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Jonathan atas sumbangan tersebut yang disifatkanya sebagai suntikan semangat luar biasa khusus kepada para atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.
![](http://borneobuletin.com/wp-content/uploads/2020/02/FB_IMG_1582052494185-1024x684.jpg)
“Mewakili MSSD Ranau, saya amat berterima kasih kepada beliau kerana begitu prihatin serta sentiasa mengambil berat tentang masa depan dan perkembangan sukan olahraga di daerah ini, khusunya di peringkat sekolah,” katanya.
Kejohanan lima hari bermula 17 hingga 21 Februari itu disertai 19 kontinjen terdiri 11 sekolah menengah dan lapan ketagori sekolah rendah (zon).
![](http://borneobuletin.com/wp-content/uploads/2020/02/FB_IMG_1582047015737-1024x684.jpg)
Kontinjen sekolah menengah terdiri SMK Mat Salleh, SMK Ranau, SMK Lohan, SMK Kundasang, SMKA Mohd Ali, SMK Timbua, SMK Matupang Jaya, SMK Kemburongoh, SMKA Irsyadiah, SMK Bundu Tuhan dan SMK Ulu Sugut.
Manakala ketagori sekolah rendah, terdiri Zon Pekan, Zon Tengah, Zon Kinabalu, Zon Timur, Zon Utara, Zon Ulu Sugut, Zon Selatan dan Zon Garas. –TAMAT–