30 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan rayu warga Ranau patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN

RANAU: Timbalan Menteri Dalam Negeri ll, Jonathan Yasin, merayu kepada masyarakat di daerah ini agar mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan ekoran Covid19 ini.

Beliau menegaskan bahawa ancaman Covid-19 yang kini menular di negara ini sangat merbahaya dan jangan dianggap remeh atau tidak penting walaupun daerah Ranau setakat ini masih bebas dan terkawal.

“Saya merayu agar kita sayangi diri dan keluarga kita, penuhi tanggungjawab kita untuk menghalang dari tersebarnya virus Covid-19 ini. Marilah kita sebagai warga Ranau yang prihatin terhadap satu dengan yang lain.

“Hindarilah diri dan keluarga tersayang dari virus yang merbahaya ini,” katanya dalam satu catatan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya kemarin.

Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau, menzahirkan kebimbangan itu selepas mendapati aktiviti sekitar pekan Ranau kelihatan masih berjalan seperti biasa berbanding pekan-pekan lain di Sabah yang kini lengang kerana mematuhi arahan kerajaan untuk mengawal pergerakan rakyat.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri,  Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas mengenai Covid-19 berkata, keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Menurut Perdana Menteri, situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

“Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967,” tegas beliau. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN