Datuk James (tengah) menerima cenderhati disampaikan Datuk Dr.Asitt, selepas selesai mesyuarat
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), telah menubuhkan Jawatankuasa Kerja Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Sabah Maju Jaya (SMJ) Negeri Sabah pada hari Selasa.
Menteri KPMKR, Merangkap EXCO Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Ratib berkata, ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh Kerajaan bertujuan untuk membudayakan hidup sihat serta melestarikan persekitaran bagi menyokong kesejahteraan rakyat.
“ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, mulai tahun 2021 hingga tahun 2030.
“ANMS di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 adalah gagasan oleh Kerajaan Negeri Sabah berpaksikan tiga teras iaitu S (Sektor utama fokus pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan), M (Modal insan dan kesejahteraan rakyat) serta J (Jaringan Infrastruktur dan kelestarian hijau).
“Jelajah ANMS-SMJ yang dilaksanakan pada tahun 2022 merupakan perkongsian pintar antara Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Negeri dalam usaha mempromosikan kesejahteraan kesihatan rakyat Sabah,” kata beliau.
James yang juga merupakan Adun Sugut berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa ANMS-SMJ Negeri Sabah yang diadakan di sini pada hari Selasa.
Beliau berterima kasih kepada semua ahli mesyuarat atas kesudian menghadiri mesyuarat tersebut.
Beliau menambah bahawa selain daripada penubuhan Jawatankuasa ANMS-SMJ, mesyarat itu juga diadakan bagi melantik Pegawai Penyelaras (Focal Point) mewakili setiap kementerian untuk menyelaras pelaksanaan program dan aktiviti libat urus antara pelbagai jabatan serta agensi dan juga NGO.
“Objektif ANMS seiring dengan Hala Tuju SMJ yang bukan hanya memfokuskan kepada pembangunan ekonomi tetapi juga kepada modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
“Untuk pembangunan ekonomi yang mampan, kita memerlukan rakyat yang sihat bukan sahaja dari aspek fizikal malah mempunyai kesejahteraan mental.
“ANMS merupakan agenda negara dengan membudayakan cara hidup sihat melalui pemerkasaan rakyat dalam meningkatkan kesihatan kendiri menerusi kerjasama dengan rakan-rakan strategik kerajaan,” kata beliau.
Sementara itu, James memberitahu bahawa ANMS SMJ pula, mengetengahkan hasrat ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental bagi rakyat Sabah.
“Gabungan konsep ANMS-SMJ ini adalah tepat pada masanya. Kesihatan dijadikan keutamaan dalam semua rancangan pembangunan kerajaan/agensi (Health in All Policy) melalui pendekatan ‘Whole of Nation’ dalam pelaksanaan ANMS.
“Penglibatan menyeluruh semua pihak sama ada agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta dan rakyat adalah penting untuk menjayakan ANMS dengan memainkan peranan masing-masing,” kata beliau.
Tambahnya lagi, melalui Sesi Libat Urus YB Menteri Kesihatan bersama Kerajaan Negeri berkaitan ANMS yang telah dijalankan secara maya pada 21 Disember 2021, Kerajaan Negeri telah diminta untuk membentuk Jawatankuasa Kerja ANMS Peringkat Negeri yang akan bertindak sebagai penyelaras pelaksanaan ANMS di setiap negeri.
Jawatankuasa ANMS-SMJ yang ditubuhkan di Negeri Sabah, katanya, berfungsi untuk membincangkan gerak kerja, cadangan serta usul dan memastikan pelaksanaan ANMS meliputi semua peringkat melibatkan rakan strategik berdasarkan polisi, promosi dan inisiatif yang dirancang.
“Pemantauan akan dilaksanakan melalui Laporan Pencapaian Kemajuan ANMS yang akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan untuk diselaraskan bagi tujuan pengemaskinian pencapaian keseluruhan ANMS.
“Peranan Kerajaan Negeri dan penyertaan semua pihak adalah penting bagi memastikan kejayaan ANMS sehingga ke akar umbi.
“Tanpa sokongan erat, ianya akan menjejaskan pencapaian ANMS untuk menjadikan kesejahteraan kesihatan rakyat Malaysia sebagai satu keutamaan melalui amalan hidup sihat,” jelas beliau, sambal menambah bahawa komitmen semua pihak diperlukan untuk bergerak sebagai rakan strategik.