GAMBAR: SUMBANGAN….. Ansharey (kiri) menerima pelbagai barang keperluan yang disampaikan oleh Alex Lee mewakili Deevin Development Sdn. Bhd.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Labuan bersama sama agensi yang lain telah mengaggihkan sebanyak 4,500 bakul makanan kepada golongan yang terjejas khususnya golongan B40 sejak PKPD dilaksanakan.
Pengarah JKM Wilayah Persekutuan Labuan, Ansharey Matarsad berkata, bakul makanan yang mengandungi makanan harian itu mencukupi untuk tempoh seminggu hingga dua minggu.
“Sebahagian besar bakul makanan yang diagihkan adalah untuk golongan berkeluarga yang menjalani kuarantin di rumah dan juga golongan B40 berkeluarga yang terjejas susulan pelaksanaan PKPD” katanya.
Ansharey berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima sumbangan daripada Syarikat Deevin Development Sdn. Bhd. yang diadakan di perkarangan Bangunan JKM Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, petang Jumaat.
Selain itu katanya, JKM melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah menerima sebanyak 2,000 bakul makanan yang disumbangkan oleh sektor korporat, badan bukan kerajaan (NGO), individu dan juga agensi agensi lain untuk diagihkan kepada golongan yang terkesan dengan COVID 19 dan PKPD.
“JKM melalui JPBD sentiasa mengalu-alukan kepada syarikat swasta, ahli korporat termasuk individu yang berkemampuan untuk menghulurkan apa juga jenis sumbangan yang bebentuk seperti kit makanan atau keperluan lain yang bersesuaian untuk diagihkan kepada golongan yang terjejas akibat COVID 19 mahupun PKPD”katanya.