Sebahagaian warga Filipina yang ditahan dalam Op Sapu JIM Labuan pada Rabu.
LABUAN: Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan (JIM) menahan 12 warga Filipina dalam Op Sapu yang di jalankan di beberapa lokasi sekitar bandar Labuan pada Rabu.
Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata 12 warga Filipina yang ditahan dalam operasi itu membabitkan seorang lelaki, lima wanita dan enam kanak kanak.
Katanya operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 1.30 pagi itu telah memeriksa seramai 84 individu terdiri 51 warga Malaysia, 31 warga Filipina dan dua warga Indonesia.
‘Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 12 warga Filipina, terdiri daripada seorang lelaki, lima wanita serta enam kanak-kanak, kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63″, katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Selain itu, dua notis saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Labuan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk siasatan.
Mohd Redzuan Nawi berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk tindakan terhadap majikan atau individu yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).



