Moddy (ketujuh dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama staf OUM dan masyarakat yang hadir pada program itu.
KENINGAU: Open University Malaysia (OUM) Keningau terus memainkan peranan penting dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat setempat, khususnya golongan bekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap pekerjaan dan keluarga.
Perkara itu dinyatakan oleh Penyelaras Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Parlimen P.180 Keningau, Moddy Patrict, ketika merasmikan Majlis Makan Malam OUM Keningau Night 2026.
Menurut beliau, kewujudan Pusat Pembelajaran OUM Keningau memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya dalam menyediakan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, justeru peluang meningkatkan pengetahuan serta kelayakan akademik perlu dibuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, pekerjaan mahupun latar belakang.
Beliau berkata, OUM menyediakan pendekatan pembelajaran yang fleksibel bagi membolehkan individu melanjutkan pengajian sambil meneruskan komitmen terhadap pekerjaan dan keluarga.
Sehubungan itu, beliau berharap OUM Keningau terus berkembang maju serta berupaya melahirkan lebih ramai graduan berpengetahuan dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Mengulas penganjuran OUM Keningau Night 2026, Moddy berkata majlis berkenaan bukan sekadar acara makan malam, sebaliknya menjadi platform menghargai hubungan baik, meraikan pencapaian serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga OUM Keningau.
Menurutnya, kejayaan sesebuah institusi pendidikan bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi turut dipengaruhi semangat kerjasama, komitmen dan hubungan baik antara pihak pengurusan, kakitangan, tenaga pengajar, pelajar serta masyarakat sekeliling.
Beliau turut menggalakkan seluruh warga OUM Keningau supaya terus mengekalkan semangat kerjasama, saling menyokong dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memastikan institusi itu terus maju.
Dalam perkembangan berkaitan, OUM Keningau menawarkan pelbagai program pengajian bermula daripada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Master) sehingga Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pengurusan, teknologi maklumat (IT), perakaunan, sains dan sains sosial.
Pengambilan pelajar baharu bagi kemasukan Januari 2027 juga telah dibuka kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian.
Pada majlis itu, Moddy turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, kakitangan OUM Keningau, para penaja serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan majlis berkenaan.
Beliau berharap OUM Keningau Night 2026 menjadi kenangan bermakna dan terus menjadi simbol hubungan erat serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga OUM Keningau.
Dalam perkembangan berkaitan
Pengarah Pusat Pembelajaran Open University Malaysia (OUM) Keningau, Jinin Marutin berkata, OUM Keningau menawarkan pelbagai program pengajian bermula daripada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Master) sehingga Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pengurusan, teknologi maklumat (IT), perakaunan, sains dan sains sosial.
Katanya, pengambilan pelajar baharu bagi kemasukan Januari 2027 juga telah dibuka kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian.



