25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Oktober 30, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

JHEWA Anjur Tiga Program Perkasa Wanita Sabah November Ini

Tun Musa (enam dari kiri), Toh Puan Faridah (lima dari kanan) bergambar kenangan dengan rombongan JHEWA.

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah akan menganjurkan tiga program utama menumpukan aspek keusahawanan, kepimpinan dan kesedaran undang-undang membabitkan lebih 2,000 wanita sepanjang November ini.

Pengarah JHEWA, Haslina Ismail berkata pelaksanaan program-program tersebut memperkasa wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk melahirkan wanita yang berilmu, berdikari, memahami hak mereka dalam konteks undang-undang dan berperanan aktif dalam pembangunan komuniti.

“Program Keusahawanan JHEWANITA yang dijadualkan pada 18 November akan disertai kira-kira 500 peserta wanita dengan fokus kepada pembangunan keusahawanan melalui sesi perkongsian ilmu, pendedahan dan interaksi bersama pelbagai agensi berkaitan.

“Selain itu, Program Pemerkasaan NGO Wanita Sabah pada 20 November dijangka menghimpunkan 1,000 peserta daripada pelbagai pertubuhan wanita seluruh negeri.

“Program ini menekankan latihan pengurusan organisasi, tatacara protokol dan kepimpinan agar NGO wanita Sabah lebih efisien dan berdaya saing.

“Sementara itu, Program Wanita Peka Undang-Undang pada 27 November pula akan memberi tumpuan kepada peningkatan kefahaman wanita terhadap hak perundangan, keselamatan diri, perlindungan daripada keganasan dan diskriminasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan Isterinya, Toh Puan Faridah Tussin, pada Rabu.

Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan perkembangan terkini Program GLOW at Sabah, hasil inisiatif JHEWA bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang memberi tumpuan kepada pembangunan wanita berpotensi tinggi dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kepimpinan.

“Melalui GLOW at Sabah, kita ingin melahirkan wanita Sabah yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan ekonomi, tetapi juga berjiwa kepimpinan.

“Fokus utama kita adalah memperkasa wanita dari pelbagai lapisan masyarakat seperti ibu tunggal, wanita B40, usahawan dan pemimpin NGO agar mereka lebih berkeyakinan, berpengetahuan serta mampu menjadi ejen perubahan,” ujarnya./Penerangan

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN