ADVERTISEMENTspot_img

Jeffrey Kitingan sedia berjuang sendirian, tegaskan PRN Sabah penentu kebebasan politik dari Malaya

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata beliau menghormati keputusan lima pemimpin parti itu yang memilih untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menegaskan bahawa perjuangannya tidak akan terhenti.

Menurut beliau, setiap individu berhak bertindak mengikut pertimbangan sendiri, dan keputusan tersebut tidak mengejutkan berdasarkan pengalaman politiknya sebelum ini.

“Saya telah melihat perkara ini sebelum ini dan saya tidak terkejut. Dalam hidup saya, saya sering berjalan seorang diri

“Apa yang penting bukan bilangan mereka yang bersama saya, tetapi sama ada jalan yang dilalui itu benar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jeffrey menegaskan perjuangannya bukan berasaskan kedudukan atau keselesaan, sebaliknya berlandaskan maruah, keadilan dan harapan rakyat Sabah yang menurutnya masih belum dipenuhi.

“Misi saya tetap sama. Saya akan terus berdiri untuk Sabah dan berkhidmat kepada rakyatnya dengan jujur dan berani,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan doa kepada mereka yang memilih haluan berbeza, namun menyatakan pendiriannya bahawa perjuangan mesti diteruskan.

“Mereka yang memilih arah lain tetap menjadi rakan saya, dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka. Walau bagaimanapun, tugas saya jelas. Akhirnya, rakyatlah yang akan memutuskan,” tambahnya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Jeffrey menyifatkannya sebagai referendum penting menentukan hala tuju Sabah.

“Pilihan raya negeri ini akan menjadi referendum untuk Sabah, sama ada kita kekal tunduk kepada Malaya atau berdiri bebas dan merdeka,” tegasnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN