TINJAU…Bung (Dua kanan membelakang) ketika meninjau kesan kebakaran di kampung Simunul Semporna
SEMPORNA – Jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah perkampungan setinggan di Sabah akan ditubuhkan dan dibincang secara terperinci dalam Kabinet Negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu harus diuruskan terlebih dahulu bagi memastikan masalah setinggan dapat dikawal daripada berterusan merebak.
“Di Sabah ini banyak kampung yang bertaraf setinggan dan ia berlaku apabila mula-mula hanya 10 rumah, kemudian 20, 200 dan akhirnya menjadi 2,000 rumah. Sukar untuk dikawal apabila ia sudah merebak dan sekiranya berlaku kejadian malapetaka seperti kebakaran, satu kampung pun terlibat.
“Jadi, perkara ini sudah dibincangkan dalam Kabinet kerajaan Negeri dan kita telah cuba merancang untuk mencari kawasan tanah untuk dijadikan pusat pemindahan masyarakat setinggan,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, hari ini.

BANTUAN..Bung menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran tersebut.
Bung Moktar dalam pada itu berkata, status penduduk turut menjadi masalah kepada pihak kerajaan dalam menyelesaikan perkara itu.
“Setinggan ini pula, ada statusnya yang tempatan dan bukan warga tempatan jadi ini menjadi masalah kepada kerajaan untuk menentukan status mereka.
“Namun jika tidak diuruskan dari awal, saya rasa ia tidak akan mendapat hasil yang lebih baik. Jadi setinggan ini akhirnya akan makin berkembang sehingga tanah kerajaan yang hendak dibangunkan pun dijadikan setinggan termasuk di kawasan bandar,” katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut berhubung hala tuju setinggan di negeri ini.
“Insya-ALLAH, kita akan bincang secara terperinci, mungkin ada jawatankuasa khas menentukan arah bagaimana hala tuju kita mengubah masyarakat setinggan di masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, beliau dalam lawatannya turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Simunul, semalam.
Sementara itu, diminta mengulas berhubung masalah air di Kunak, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengadakan satu persefahaman dengan sebuah konsultan bagi melakukan kajian berkaitan hala tuju bekalan air di Sabah.
“Kajian ini memakan masa selama tiga bulan dan akan bermula minggu ini dan selepas tiga bulan, baru saya akan umumkan arah bagaimana hala tuju air Sabah.
“Saya sepatutnya akan melawat Tawau, Lahad Datu dan Kunak tetapi oleh sebab ada perkara-perkara tidak dapat diatasi ditambah pula Tawau sudah kembali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya terpaksa tangguh dulu lawatan untuk meninjau masalah air dan elektrik di daerah itu,” katanya.