PENGERUSI Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek An Nur, Dato’ Sri Mohd Alias Abdul Rahman menerima surat pelantikan daripada Haji Ahmad Marzuk sambil diperhatikan Mohd Ajib (kanan sekali) dan Saifuffin (kiri sekali).
LABUAN: Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan Labuan perlu menghayati tugasan masing-masing dengan merujuk kepada Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019 bagi memastikan kelancaran pentadbiran masjid dan surau.
Demikian seranan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sesi 2020-2023 di Masjid Negeri Jamek An-Nur, di sini, pada Ahad.
Selain itu katanya, jawatankuasa kariah yang baharu dilantik juga perlu sentiasa berhubung dengan agensi yang berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi mengeratkan lagi kerjasama terutamanya dalam memantapkan tadbir urus Masjid dan Surau Jumaat.
“Kita juga mahu jawatankuasa yang baharu dilantik ini dapat mengurus kewangan masjid dan surau Jumaat berpandukan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid Dan Surau Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan oleh MAIWP pada tahun 2018. Ini bagi memastikan pengurusan kewangan dipatuhi dan aset-aset masjid dan surau Jumaat diurus dengan secara berhemah” katanya.
Pada majlis itu seramai 30 Pengerusi Masjid dan Surau Jumaat menerima Surat Pelantikan Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat sesi 2020-2023, manakala seramai 15 mantan Pengerusi Masjid dan Surau Jumaat menerima Sijil Penghargaan Jawatankuasa Kariah sesi 2018-2020.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail dan Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan Ahmad Saifuddin Md Tahir.