25.8 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Jasa perjuangan, pengorbanan petugas barisan hadapan sentiasa diingati

Abidin (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada Dr Eva, Simiun dan Wasli

RANAU: Jasa perjuangan serta pengorbanan petugas barisan hadapan sepanjang dua tahun lalu di mana negara berperang dengan wabak Covid 19 akan sentiasa diingati rakyat negara ini, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.


Beliau berkata, jasa baik petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa masa itu telah membolehkan rakyat negara ini keluar daripada era pandemik dan masuk ke peringkat endemik hari ini.


“Ini juga antara sebab utama mengapa kita dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini seperti sedia kala, tidak seperti bagaimana kita menyambutnya sejak dua tahun lalu, akibat coronavirus,” katanya.


Sehubungan itu, satu majlis penyampaian cenderahati Raya telah diadakan di Hospital Ranau pada Sabtu, di mana Abidin yang juga Adun Paginatan, mengagihkan hadiah kepada wakil-wakil perubatan, keselamatan serta keselamatan dan kecemasan.

Abidin (tengah) dan yang lain menunjukkan tanda bagus pada program tersebut


Hospital Ranau diwakili Pengarah Hospital, Dr Eva Candra Susanti Bt Suhaili, manakala PDRM diwakili Ketuanya, DSP Simiun Bin Lomudin, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat diwakili PBK II Wasli Saupin.


Sementara itu, Dr Eva berkata selaku tuan rumah, beliau mewakili seluruh barisan hadapan di kawasan Ranau mengucapkan terima kasih kepada Abidin kerana sudi meluangkan masa untuk hadir walaupun sibuk dengan tugasan lain.


“Memandangkan kita telah melalui Pandemik Covid 19 sejak 2020 hingga kini, ia merupakan satu perjalanan yang pahit manis. Bukan sahaja kepada barisan hadapan malah turut dirasai oleh orang awam.


“Beberapa ribu telah dijangkiti. Betapa dalam kesedihan melihat orang tersayang dibawa ke kubur tanpa diizinkan untuk disentuh, dipeluk buat kali terakhir.


“Berapa ramai petugas barisan hadapan yang mengalami kemurungan, keletihan yang melampau. Namun, ada hikmah yang patut kita pelajari dan jadikan contoh pada masa hadapan,” katanya.


Dr Eva mengucapkan terima kasih kepada Abidin dan pemimpin lain di sini kerana sangat bermurah hati dalam dua tahun pandemik yang lalu, di mana hospital secara amnya telah menerima banyak sumbangan dari segi pelbagai PPE, peralatan perubatan, dan sebagainya.


Dalam majlis itu, Abidin yang ditemani isterinya Datin Florence Malingkid, Pegawai Kemajuan Masyarakat (PPM) Paginatan, Hishamuddin Harun, dan lain-lain turut meluangkan masa menziarahi semua pesakit yang dimasukkan ke hospital itu sambil membawa sumbangan raya dan wang tunai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN