SWAFOTO …. AJK 5PM DCTK berswafoto bersama Jahid bersama Yang Dipertua Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Sabah, Datuk Dzulkifle Hj Jaafar.
Oleh: Ateng
TAMPARULI: Jasa dan pengorbanan warga pendidik dan pesara guru tetap dikenang dan dihargai selamanya.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, peranan warga pendidik dan mereka yang sudah bersara sebagai guru sentiasa disanjung tinggi dalam mengajar anak bangsa sehingga menjadi insan yang berguna.
“Bayangkan sahaja, di sekolah, mereka menggalas tanggungjawab yang bukan kepalang, dialah doktor, dialah hakim, dialah penjaga keselamatan, dan dialah juga kaunselor kepada anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Tamparuli, Kiulu dan Kadamaian (5PM DCTKKK) Kali Ke-9, di Pusat Latihan SIGMA Bantayan Tamparuli, dekat sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia Cawangan Negeri Sabah, Datuk Dzulkifle Hj Jaafar, Ketua Sektor Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Hj Paduka Hj Rani, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, kegigihan dan semangat para pesara guru dalam memastikan anak murid mereka menjadi modal insan cemerlang, gemilang dan terbilang, amat dikagumi dan wajar disanjung tinggi.
“Tidak keterlaluan kalau saya nyatakan bahawa guru adalah segalanya dalam alam kehidupan seorang pelajar, kerana siapa pun kita, apa pun kerjaya, segalanya bermula dari seorang guru yang mengajar kita menulis, membaca dan mengira,” katanya.
Tambahnya, panggilan keramat “cikgu” tetap terpahat dalam hati sanubari setiap insan yang bergelar murid atau pelajar.
Justeru, beliau menyeru kepada semua yang hadir agar menyokong sepenuhnya persatuan tersebut sebagai wadah meneruskan legasi pendidikan yang tidak punya titik noktahnya.
“Saya mohon agar mereka yang belum menjadi ahli, mendaftar dengan serta-merta agar persatuan ini menjadi kuat sekaligus dapat memartabatkan pendidikan sebagai profesion tuan-tuan dan puan-puan, sesuai dengan perkataan GURU itu sendiri yang diterjemahkan sebagai Guru Untuk Rakyat Umum.
“Sesuai dengan kerangka pembangunan Sabah Maju Jaya yang dirancang dan sedang diusahakan kerajaan negeri, di mana salah satu elemen penting adalah pembangunan modal insan, yakni melahirkan warganegara berkemahiran tinggi, berdaya saing, inovatif, kreatif dan dinamik,” katanya.
Jahid yang juga Penaung persatuan tersebut, berkata, beliau sentiasa menyokong dan memberi kerjasama sepenuhnya terhadap setiap aktiviti persatuan yang melibatkan masyarakat setempat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) yang telah berjaya mengekalkan jawatan, termasuk mereka yang terpilih pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan kali ini.
Pada Mesyuarat Agung Dwi Tahunan itu, Yatau @ Azman Ubin telah mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi 5PM DCTK bagi sesi 2024 – 2026.