SIMBOLIK….. Rithuan (kiri) bersama Supian (dua Kanan) dan Zico ketika melancarkan Kempen Norma Baharu di bangunan UTC dekat sini, pada Khamis.
LABUAN: Jabatan Penerangan (JaPen) Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Labuan memperhebatkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID 19 di kalangan komuniti di pulau ini.
Pengarahnya Supian Musa, berkata Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dilancarkan beberapa bulan lalu adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia terutamanya di Labuan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“JaPen menerusi unit bergerak Info on Wheels (IoW) akan sentiasa bergerak ke setiap pelusuk kampung dan mengedar buku yang dikeluarkan Jabatan Penerangan yang diterbitkan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.
“ Buku ini mengandungi panduan-panduan SOP untuk sama-sama dipatuhi orang ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas pelancaran Kempen Norma Baharu peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di bangunan UTC, Pasar Sentral dekat sini, pada Khamis.
Majlis simbolik pelancaran kempen tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang juga Pengerusi JPBD Wilayah Persewkutuan Labuan, Rithuan Haji Ismail.
SERAH…. Supian (tiga kanan) menyerahkan buku Kempen Norma Baharu kepada Jainudin sambil diperhatikan Rithuan (dua kanan) dan Zico (kanan sekali)
Sementara itu Rithuan berkata, kempen tersebut perlu dihebahkan untuk mendidik masyarakat mengamalkan norma baharu di dalam kehidupan seharian.
“Kalau kita tidak membudayakan norma baharu agak sukar kita memenangi pertarungan ini, jadi kita perlu kerjasama semua komuniti di Labuan dan agensi lain termasuk pihak swasta untuk menjayakan kempen ini” katanya.
Dalam waktu yang sama beliau merakamkan ucapan terima kasih atas inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutan Labuan bersama JPBD akan terus berganding-bahu menjayakan kempen ini agar dapat dihayati ahli komuniti di semua peringkat.
Turut menerima buku Kempen Norma Baharu itu ialah Persatuan Penggiat Media Labuan.
Hadir sama, Pegawai Pertahanan Awam Labuan Mejar (PA) Zico Sual dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin