OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Masyarakat di sini dingatkan agar menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita atau maklumat yang tidak sahih dan tidak tepat berkaitan wabak Covid-19.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, berkata, tindakan tidak bertanggunjawab itu akan menimbulkan kekeliruan dan panik dikalangan masyarakat.

“Pihak Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita atau maklumat palsu.
“Mereka yang didapati boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia yang boleh didenda tidak melebihi Rm50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
DSP Sammy turut menjelaskan berkenaan satu maklumat yang tular mengatakan semua pasaraya atau kedai runcit menghadkan operasinya sehingga jam12 tengahari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan adalah tidak benar.
“Setakat ini premis-premis berkenaan masih beroperasi seperti biasa. Walaubagaimanapun masyarakat dinasihatkan supaya menghadkan pergerakan keluar daripada rumah bagi tujuan penting sahaja,” tambah beliau.
Berkenaan “Pekan Kundasang Ditutup” yang tular sejak kemarin, beliau menjelaskan bahawa maklumat itu tidak benar. “Polis hanya memantau untuk memastikan pergerakan orang ramai terhad selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau, Yassin Ibrahim ketika diminta mengulas hal yang sama berkata, maklumat tanpa sumber yang sahih dianggap palsu dan diumpamakan sebagai menyebarkan fitnah,
“Ini menyusahkan kerana menimbulkan panik di kalangan orang ramai,” katanya ketika dihubungi kemarin.
Beliau kesal dengan sikap segelintir masyarakat khususnya di daerah ini yang gemar kongsikan berita atau gambar yang diterima menerusi WhatsApp, Facebook atau aplikasi lain tanpa merujuk kesahsian sumber berita daripada pihak berkenaan.
“Satu lagi penyakit masyarakat hari ini, suka kongsikan gambar lama yang sudah tidak releven dengan mengaitkan gambar tersebut dalam situasi genting ketika ini.
“Saya mengambil contoh gambar anggota dan aset-aset tentera yang terlibat dalam satu pameran sebelum ini telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab kononnya tentera sudah ambil alih Perintah Kawalan Pergerakan,” jelas Yassin.
Ujarnya, apa yang lebih penting ketika ini adalah mematahui sepenuhnya perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) sehingga 31 Mac 2020 dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.
Tambahnya, masyarakat diminta merujuk laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau kenyataan yang dikeluarkan KKM bagi mendapatkan perkembangan terkini serta maklumat yang tepat dan sahih. –TAMAT–